Kekosangan jawatan diiklankan dalam talian melonjak 76.4 peratus

Kekosangan jawatan diiklankan dalam talian melonjak 76.4 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian melonjak 76.4 peratus pada suku pertama 2022, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, keseluruhan analisis data raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia menunjukkan, peningkatan tawaran kekosongan jawatan diiklankan dalam talian bermula pada suku ketiga 2020.

Kata beliau, pada suku pertama 2020, sebanyak 49,372 jawatan kosong telah diiklankan, manakala, pada suku pertama 2021 jawatan kosong yang diiklankan telah bertambah kepada 90,218 (82.7 peratus) dan melonjak naik kepada 159,148 (76.4 peratus) pada suku pertama 2022.

“Walau bagaimanapun, jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian bagi suku pertama 2022 menurun 16.4 peratus berbanding 190,436 pada suku keempat 2021.

“Pada asas bulanan suku pertama 2022, bilangan jawatan kosong yang diiklankan dalam talian adalah tertinggi pada bulan Februari 2022 iaitu sebanyak 67,172 kekosongan. Manakala bagi bulan Januari dan Mac, masing-masing berjumlah 48,924 dan 43,052 kekosongan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, pada suku pertama 2022, sebahagian besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori Profesional (44.9 peratus) diikuti Juruteknik dan Profesional Bersekutu (17.7 peratus) dan Pengurus (11.3 peratus).

Mengikut susunan, lima (5) pekerjaan paling popular yang ditawarkan dalam tempoh rujukan adalah Profesional Pengiklanan dan Pemasaran, Profesional Bersekutu Pentadbiran, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif, Akauntan dan Juruaudit dan Pembangun Perisian.

“Sementara itu daripada perspektif ekonomi pula, sektor Perdagangan Borong dan Runcit, Pembaikan Kenderaan Bermotor dan Motosikal menjadi sektor utama yang menyumbang kepada penawaran pekerjaan bagi pencari kerja pada suku pertama 2022.

“Manakala, empat lagi sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi adalah sektor Pembuatan; Aktiviti Profesional, Teknikal dan Saintifik; Aktiviti Kewangan dan Insurans/Takaful serta Aktiviti Penginapan dan Perkhidmatan Makanan dan Minuman<” jelas beliau.

Tambah Mohd. Uzir, tiga pekerjaan kategori Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatatkan jumlah kekosongan tertinggi pada suku pertama 2022 adalah Profesional Pengiklanan dan Pemasaran, Profesional Bersekutu
Pentadbiran dan Pembangun Perisian.

Manakala, Profesional Pengiklanan dan Pemasaran, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif serta Akauntan dan Juruaudit merupakan pekerjaan kategori Senarai Pekerjaan Kritikal (COL) tertinggi yang diiklankan dalam talian semasa tempoh rujukan.

Sementara itu, pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pula adalah Juruteknik, Pereka Grafik dan Jurutera Perisian.

“Mengikut negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan jumlah kekosongan pekerjaan tertinggi pada 42.7 peratus diikuti Selangor (16.9 peratus), Johor (7.3 peratus), Pulau Pinang (3.9 peratus) dan Melaka (1.7 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN