
KEHILANGAN pekerjaan setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 pada 2020 menyebabkan Mohd. Farhan Sabry, 41, dan isterinya, Rozita Jasmi, 38, terpaksa pulang ke kampung halaman di Perlis.
Mohd. Farhan yang sebelum ini bekerja dalam bidang pemasaran di syarikat swasta di ibu negara mula memikirkan cara memperoleh sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup dirinya dan keluarga.
Akhirnya, dia memilih untuk menternak itik bagi menghasilkan telur yang dijadikan telur masin.
Perniagaan tersebut jarang diceburi oleh golongan bumiputera dan mempunyai kurang persaingan di negeri ini.
Bermula dengan hanya 400 ekor itik, graduan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut kini sudah menternak 4,000 itik yang mampu menghasilkan kira-kira 2,000 hingga 2,500 telur sehari.
Pemilik MFS81 Global Trading tersebut memberitahu, syarikatnya mampu mencapai jualan telur itik masin kira-kira RM50,000 sebulan yang kebanyakannya dipasarkan di Pulau Pinang, Lembah Klang dan negeri ini.

Bengkel memproses telur itik masin yang terletak di Kampung Ngulang, Mata Ayer, Kangar mampu menghasilkan pengeluaran sehingga 80,000 biji telur masin sebulan.
“Setelah telur dikutip setiap pagi di ladang kami di Bukit Keteri, ia akan dibawa terus ke bengkel untuk dicuci terlebih dahulu sebelum proses menyalut larutan campuran tanah dan garam serta sekam bakar untuk menghasilkan telur masin.
“Kami mementingkan aspek kebersihan, sebab itu kami pastikan telur tersebut dibasuh terlebih dahulu. Di samping itu, oleh kerana itik-itik yang menghasilkan telur juga diternak sendiri, maka pemakanan itik terjaga dan dari sumber-sumber yang bersih.
“Ini kerana, 80 peratus daripada makanan itik kami buat sendiri seperti jagung yang ditanam sendiri dan beras dedak yang dibeli terus dari kilang padi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd. Farhan berkata, dia memilih untuk terlibat dalam perniagaan telur masin berbanding telur segar kerana risikonya yang lebih rendah, kurang persaingan dan permintaan yang tinggi.
“Jika telur segar, ia hanya boleh bertahan dalam dua minggu, jika tidak habis boleh mendatang kerugian. Namun, telur masin boleh tahan lama iaitu kira-kira setahun,” ujarnya.
Dia yang juga menghasilkan anak itik sendiri dengan mesin inkubator menyasarkan untuk mempunyai 20,000 ternakan itik yang mampu menghasilkan kira-kira 15,000 biji telur itik setiap hari dalam masa dua tahun ini.
Menurut Mohd. Farhan, dengan peningkatan pengeluaran tersebut, dia menyasarkan untuk memasarkan telur itik masin di seluruh pasaran utara. – UTUSAN










