Harga sawit dijangka turun sekitar RM5,000 satu tan - Utusan Malaysia

Harga sawit dijangka turun sekitar RM5,000 satu tan

INVENTORI minyak sawit terus meningkat berikutan peningkatan pengeluaran, namun eksport pula menurun. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka susut sehingga RM5,000 setiap tan sebagai impak daripada keputusan kerajaan Indonesia yang membenarkan semula eksport sawit bermula semalam.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah itu akan menyebabkan harga minyak sawit yang melonjak sehingga sekitar RM7,000 sejak awal tahun ini kembali menurun.

“Harga minyak sawit pada masa kini menurun ke harga semasa pada Mac lalu dan saya melihat harga sawit selepas ini mungkin sekitar RM5,000 ke 6,000 sahaja setiap tan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, pengumuman Indonesia itu memberikan kesan positif kepada bekalan MSM dunia, namun pasaran masih tercari-cari kestabilan harganya.

Ujarnya, itu disebabkan polisi yang mendadak dan berubah-ubah dalam masa terdekat, justeru mengambil masa antara tiga hingga enam bulan lagi untuk memberikan hala tuju pasaran MSM yang lebih jelas.

“Namun, harga MSM tidak akan turun mendadak kerana masih berlaku gangguan bekalan kepada minyak masak bunga matahari berikutan peperangan antara Rusia dan Ukraine yang masih berterusan. 

“Peperangan itu telah memusnahkan ladang-ladang di Ukraine yang selama ini membekalkan 90 peratus minyak masak dari bunga matahari.

“Gangguan turut berlaku kepada minyak masak daripada jagung kerana Rusia dan Ukraine membekalkan 30 peratus dari bekalan dunia yang telah pun menyebabkan kenaikan harga komoditi jagung dunia.

“Saya menjangka keseluruhan rantaian nilai bekalan dalam industri sawit akan menerima impak positif,” katanya.

Baru-baru ini, pengeksport terbesar minyak sawit dunia, Indonesia mengumumkan bakal menarik balik larangan eksport minyak sawit bermula Isnin (semalam).

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi), sekali gus mengurangkan tekanan ke atas pasaran minyak sayuran global yang mencecah harga puncak kerana penggantungan, perang di Ukraine dan pemanasan global.

Negara kepulauan itu mengeluarkan larangan bulan lalu untuk mendapatkan bekalan komoditi itu, yang digunakan dalam pelbagai barangan daripada taburan coklat kepada kosmetik, dalam menghadapi kekurangan dalam negara.

“Berdasarkan bekalan dan keadaan minyak masak serta memandangkan terdapat 17 juta orang dalam industri sawit; petani dan pekerja sokongan lain, saya memutuskan eksport minyak masak akan dibuka semula pada Isnin, 23 Mei,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.