Ekonomi Malaysia berkembang 5 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia berkembang 5 peratus

Perbincangan Bank Negara Malaysia dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan dijangka berupaya mengukuhkan kembali nilai ringgit. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022 berbanding 4.6 peratus pada suku keempat tahun 2021.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

“Keadaan yang bertambah baik itu juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1 peratus di samping sokongan dasar yang berterusan.

“Permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

“Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratus dan 6.6 peratus.

“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Gobenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, ekonomi dalam negeri dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus seperti yang diumumkan pada Mac 2022.

Ujarnya, unjuran itu disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik. Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan.

“Bagaimanapun, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud. Risiko ini termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk,  perkembangan buruk berhubung dengan Covid-19 dan volatiliti pasaran kewangan yang meningkat,” katanya.

Bank pusat itu juga prihatin terhadap inflasi Malaysia dalam persekitaran kos input yang tinggi dan permintaan yang bertambah baik.

Nor Shamsiah berkata, bagi 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus dalam persekitaran kos input yang tinggi dan permintaan yang bertambah baik.

“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, juga dijangka meningkat pada tahun ini dengan mencatatkan purata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus.

“Beberapa faktor penting dijangka membendung sebahagian daripada tekanan harga menaik, iaitu langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

“Meskipun begitu, prospek inflasi terus bergantung pada perkembangan harga komoditi, yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

“Prospek ini juga bergantung pada langkah-langkah dasar dalam negeri berhubung dengan harga yang ditadbir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya