PETALING JAYA: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) merekodkan pendapatan sebanyak RM522 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022, susut 8 peratus daripada RM567 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Penyusutan pendapatan itu disebabkan penularan wabak Omicron yang telah menjejaskan tabiat pembelian, selain rokok seludup yang berterusan dan faktor bermusim yang lain.
Bagaimanapun, usaha rasionalisasi kos BAT Malaysia berjaya mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak 14 peratus atau RM8 juta berbanding suku yang sama tahun lalu.
“Ini telah mengurangkan kesan daripada volum yang lebih rendah kepada keuntungan operasi, yang lebih rendah sedikit pada RM82 juta berbanding RM87 juta suku yang sama tahun lalu,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pengarah Utusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, BAT Malaysia mengekalkan pertumbuhan trajektori jenama strategiknya dalam segmen Premium dan Nilai Untuk Wang.
Kata beliau, ia seiring dengan matlamat syarikat untuk menyampaikan pertumbuhan nilai.
“Pada masa yang sama, BAT Malaysia juga bersedia untuk mendapat manfaat daripada model pasaran yang sesuai pada masa hadapan dan inisiatif transformasi digital, yang semuanya akan memainkan peranan dalam mewujudkan organisasi yang lebih mudah dan lebih pantas,” jelasnya.
Nedal berkata, pasaran gelap tembakau yang ketika ini menguasai hampor 60 peratus daripada jumlah pasaran, terus membebankan prestasi dan operasi industri yang sah dan menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan kira-kira RM5 bilion setahun dalam bentuk cukai yang tidak dikutip.
Beliau percaya, terdapat risiko pasaran gelap tembakau mungkin kembali meningkat akibat pembukaan semula sempadan dan penyambungan semula perdagangan dan perjalanan rentas sempadan.
“Sangat kritikal bahawa kerajaan perlu menumpukan perhatian dan sumber untuk meningkat penguatkuasaan dan memperkukuh keselamatan sempadan. Kestabilan dasar juga penting untuk memastikan bahawa sindiket pasaran gelap tembakau tidak diberi insentif secara tidak sengaja.
“Sebaliknya, kerajaan harus merebut peluang untuk meneroka langkah bagi merapatkan jurang harga antara produk tembakau yang sah dan di pasaran gelap,” katanya.
Tambah beliau, BAT Malaysia juga mengalu-alukan langkah kerajaan ke arah mengawal selia industri vape di Malaysia.
Kata beliau, peraturan vape mesti berasaskan bukti data saintifik dan fakta supaya membolehkan perokok di Malaysia mengakses kepada produk alternatif dengan potensi risiko yang kurang dan memastikan produk digunakan mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan. – UTUSAN










