Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah mengumumkan keputusan Kementerian Kewangan meluluskan permohonan lima konsortium untuk memperolehi lesen bank digital (BD) di Malaysia. Bagi lesen BD konvensional di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, mereka adalah terdiri daripada gabungan Boost Holdings Sdn. Bhd. (Boost) dan RHB Bank Berhad (RHB Bank), GXS Bank Pte. Ltd. dan Kuok Brothers Sdn. Bhd. serta Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn. Bhd. (YTL Digital Capital).
Manakala, bagi perkhidmatan BD Islamik di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, gabungan AEON Financial Service Co. Ltd, AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc serta kumpulan yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd (KAF Investment Bank) berjaya memperolehi kelulusan pelesenan. Tiga daripada lima konsortium ini, iaitu gabungan Boost dan RHB Bank, Sea Limited dan YTL Digital Capital serta KAF Investment Bank dimiliki secara majoriti oleh syarikat pemegang taruh dari Malaysia.
Tempoh persediaan operasi bank-bank digital ini dianggarkan mengambil masa di antara 12 sehingga 24 bulan. Mereka perlu diaudit oleh BNM terlebih dahulu sebelum diberikan ‘lampu hijau’ untuk memulakan perkhidmatannya. Selain itu, bank-bank digital ini perlu mengekalkan modal dana minimum sebanyak RM100 juta diperingkat permulaan, sebelum perlu meningkatkannya kepada RM300 juta.
Hal ini penting kerana lesen-lesen bank digital ini dianugerahkan bukan sahaja atas dasar tahap kehematannya (prudential), keupayaan teknologi dan kepentingannya kepada negara, tetapi mengambil kira rangkuman kewangan (financial inclusion) yang boleh diwujudkan terutamanya bagi kumpulan masyarakat, yang sebelum ini, tidak berpeluang (unserved) atau kurang mendapat peluang perkhidmatan kewangan (underserved), di bawah sistem perbankan yang sedia ada.
Bagi pemegang lesen BD Islamik pula, amanah mereka lebih besar dan luas. Kewujudan kerangka industri kewangan Islam yang tuntas di Malaysia berlandaskan kekuatan teknologi yang mereka miliki, harus dimanfaatkan bagi membawa kelainan dan persaingan sihat serta perkhidmatan moden dan inklusif ke dalam industri kewangan Islam negara.
Mereka perlu cakna menerokai idea-idea baru atas usaha menyediakan produk-produk berinovasi berlandaskan kontrak-kontrak Syariah selain tawarruq (urus niaga komoditi), untuk memberikan peluang lebih luas dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta di dalam kegiatan ekonomi negara.
Prinsip Maqasid al Shariah perlu diterapkan dengan kukuh di dalam model perniagaannya, serta sama-sama menyokong usaha perantara berdasarkan nilai (value-based intermediation) yang telah dipelopori oleh institusi perbankan Islam sedia ada. Malaysia berkemungkinan menjadi negara pertama di dunia yang secara khusus melesenkan ‘BD Islamik’. Oleh itu ruang dan peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dari awal, demi untuk mengelakkan berlakunya keadaan seperti peribahasa ‘air besar sampan tak hanyut’. – UTUSAN