Aprilia RS660 murah, kompetitif - Utusan Malaysia

Aprilia RS660 murah, kompetitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terdapat satu golongan yang selalunya lebih menyerlah daripada lain-lain kelompok pencinta dua roda ini. Golongan yang dimaksudkan ini ialah pencinta, penunggang dan pemilik motosikal-motosikal sport atau sportbike. Motosikal-motosikal daripada variasi ini adalah diketahui umum menjanjikan posisi penunggangan membongkok ke hadapan, pemijak kaki yang tinggi, berkebolehan mengambil selekoh tajam dengan tahap kelajuan tinggi dan bunyi lunak tetapi menggegar jiwa datang daripada corong ekzosnya. Motosikal-motosikal seumpamanya ini diketahui berkait rapat dengan dunia perlumbaan Grand Prix Motosikal Dunia atau Kejohanan Superbike Dunia.

Jika diimbas tahun 80-an dan 90-an, jentera-jentera daripada Jepun seperti Yamaha, Kawasaki, Suzuki dan Honda dilihat menghasilkan jentera-jentera sport yang kebanyakannya menampilkan jentera empat lejang empat silinder selari. Bunyi ekzos kerap menjadi antara faktor membuat pemilihan ketika pembelian pada waktu itu.

Jenama-jenama daripada Itali mula membuat kejutan besar di alaf baharu apabila kerap memenangi perlumbaan motosikal antarabangsa dan menggunakan konsep enjin yang berbeza iaitu dua silinder berkembar, tidak seperti saingan daripada jentera-jentera Jepun tersebut. 

Kaitan ini sekali gus membuat pasaran mula meningkat dengan permintaan-permintaan jentera sport dari Itali pula. Ini sememangnya satu fakta yang kuat berkait iaitu kecemerlangan jentera di litar lumba mempengaruhi penjualan jenama atau model motosikal tersebut di pasaran.

Walau Bagaimanapun, pasaran untuk jentera-jentera sport kelas pertengahan (lingkungan 600cc) ternyata dilihat sebagai satu kelompok baharu yang mula bertambah sejak akhir-akhir ini. Kebolehan untuk mencapai kelajuan sehingga 300kmj sudah tidak lagi menjadi keutamaan. Mereka lebih menginginkan kebolehan untuk ‘meleper’ seperti idola mereka dalam MOTOGP atau WSBK, maka Aprilia menghasilkan jentera RS660 ini untuk golongan pencinta jentera sport generasi baharu.

 

PENAMPILAN

Aprilia sebuah jenama yang begitu dikenali dalam pasaran tempatan dan minat terhadapnya mula muncul apabila nama-nama seperti Max Biaggi, Tetsuya Harada, Valentino Rossi mula menaiki podium dengan jentera RS125 atau RS250 mereka. Warna hitam merupakan warna asas yang pasti ada dalam setiap jentera lumba Aprilia dan tradisi ini dikekalkan hingga ke hari ini.

Aprilia RS660 ditawarkan untuk pasaran tempatan ini dipersembahkan dengan dua tona warna, merah menyala dan hitam pekat. Posisi penunggangan yang sudah tentunya agak cenderung kepada posisi penunggangan jentera lumba, lengkap dengan penyerap hentakan jenis terbalik di hadapan, serta fairing penuh yang wajib ada bagi setiap jentera seperti ini.

Layangkan kaki anda untuk menaiki pelananya dan kemudian pandangan anda akan tertumpu kepada skrin meter TFT-LCD berwarna, siap dengan sistem multimedia MIA Aprilia yang mempunyai keupayaan menghubungkan telefon bimbit penunggang dan memberi keupayaan penunggangnya mendengar muzik daripada telefon bimbit, pengurusan panggilan dan juga sistem navigasi, yang mana kebolehan ini semua boleh dilaras dengan butang-butang di bahagian handle bar kiri.

Aprilia RS660 berkeupayaan dilaras pada hujung jari anda untuk penetapan kuasa enjin yang diinginkan dan tahap pengawalan penunggangan seperti Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang membolehkan penunggang memilih keupayaan kadar cengkaman roda, pengawalan wheelie, pengambilan selekoh, sistem brek ABS dan kesemua kebolehan ini selalunya hanya didapati pada jentera-jentera berkapasiti tinggi serta ‘abang’ RS660 ini iaitu RSV4!

Walau hanya pada kedudukan parkir, Aprilia RS660 ini ternyata sungguh indah dipandang. Fairing jentera ini mempunyai rekaan teknikal double fairing yang menambah daya junam (downforce) yang meningkatkan kestabilan pada ketika tahap kelajuan tinggi, disamping nyah keluar udara panas daripada enjin dengan lebih efisyen.

Lampu hadapannya menggunakan sistem teknologi LED penuh yang agak unik apabila menampilkan tiga kluster lampu, iaitu lampu utama, lampu waktu siang yang sentiasa menyala dan lampu signal yang juga terletak dengan jelas di bahagian hadapan motosikal. 

PENUNGGANGAN

Penunggangan dalam bandar adalah sangat seronok dengan daya pecutannya yang kuat dan pengendaliannya ketika di selekoh-selekoh atau bulatan, namun selepas 30 minit, anda akan merasakan kebas-kebas pada pergelangan tangan dan bahu anda. Ini semua disebabkan oleh handle bar yang rendah dan kedudukan pelana yang agak tinggi.

Bunyi enjin berkembar selari ini, walau tidak ‘seganas’ enjin V berkembar, tetap saja menarik perhatian apabila memulas pendikit daripada gear rendah ke gear yang lebih tinggi. Pertukaran gear sangat lancar dan tanpa perlu menarik tuas klac kerana sistem quick shifter RS ini ternyata sangat baik. 

Dikuasakan oleh jentera yang menepati Euro 5, enjin dua silinder berkembar selari ini mempunyai sistem sejukan cecair, menghasilkan hanya 100 kuasa kuda pada kedudukan 10,000rpm dan hanya 67Nm tork pada kedudukan 8,500 rpm. Angka ini tidaklah sehebat mana, tapi apabila anda menunggangnya pada motosikal yang hanya seberat 183 kg dan secara fizikal saiznya yang seolah-olah sama besar dengan jentera 250cc, RS660 ini dirasakan meluncur dengan lajunya dan membuat penunggangnya sentiasa tersengih dalam topi keledar muka penuhnya.

Kira-kira 80 peratus daripada kuasa enjin mula terasa pada RPM 4,000 dan ini membolehkan ia memecut daripada kedudukan statik dengan menakjubkan. Penujahan kuasa yang dapat dicapai oleh RS ini ternyata berjaya dikendalikan apabila penyerap hentakan terbalik di hadapan berdiameter 41mm dan penyerap hentakan tunggal di belakang juga boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggangnya. Kuasa membrek disediakan oleh BREMBO dengan caliper 4 piston pada dua ceper brek di kiri dan kanan roda hadapan RS ini. Untuk sistem brek belakang pula, RS ini juga menggunakan BREMBO tetapi dipadankan pada cakera tunggal. 

 

KESIMPULAN

Aprilia RS660 dijual dengan harga RM59,900 sebelum cukai jalan dan insuran. Apabila dikaji dengan segala sistem penunggangan dan elektroniknya, ternyata harga ini agak murah dan kompetitif. RS660 mempunyai kebolehan pengurusan enjin dan pengendalian yang hampir sama dengan motosikal berkapasiti tinggi yang kini mampu memcapai harga jualan hampir RM100,000.

Siapa yang boleh disasarkan menjadi pemilik jentera ini? Ternyata, kalau daripada faktor harga jualan, ianya lebih menumpukan kepada kumpulan pembeli yang lebih berada. Namun, Aprilia RS660 sudah pasti diinginkan oleh mereka yang baru berkemampuan untuk memiliki sportbike atau superbike, dan mereka yang ingin menaik taraf jentera sport 250cc mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya