495 penerbangan merekodkan penundaan lebih satu jam - MAVCOM

495 penerbangan merekodkan penundaan lebih satu jam – MAVCOM

Penjadualan semula penerbangan yang dibuat secara sembarangan boleh menjejaskan aktiviti penumpang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 6,000 penerbangan domestik telah dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya Aidilftri dari 29 April hingga 9 Mei lalu, berbanding lebih 8,000 penerbangan sepanjang musim perayaan Jun 2019.

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), daripada jumlah penerbangan yang dikendalikan, sebanyak 8 peratus atau 495 penerbangan telah merekodkan penundaan melebihi satu jam.

Jelasnya, sepanjang tempoh perjalanan tersebut, AirAsia telah mengendalikan sebanyak 2,954 penerbangan di mana daripada jumlah penerbangan tersebut, 13 peratus atau 368 penerbangan mengalami penundaan penerbangan melebihi 1 jam.

“Ini diikuti Malaysia Airlines yang telah mengendalikan1,447 penerbangan, dengan 3 peratus atau 44 penerbangan tertunda.

“Seterusnya, MASwings telah mengendalikan 656 penerbangan, dengan 10 peratus atau 64 penerbangan ditunda. Firefly juga mengalami penundaan penerbangan sebanyak 2 peratus atau 15 penerbangan daripada 680penerbangan yang telah dikendalikan. Manakala Batik Air (sebelum ini dikenali sebagai MalindoAir) telah mengendalikan 555 penerbangan dengan 1 peratus atau 4 penerbangan tertunda,” katanya dalam kenyataan mengenai penemuan awal siasatan mengenai penundaan penerbangan semasa tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

MAVCOM berkata, bagi penundaan penerbangan melebihi 2 jam, analisis awal pihaknya menunjukkan bahawa 71 peratus atau 119 penerbangan ditunda disebabkan oleh faktor operasi termasuk kekurangan pesawat, perhentian penerbangan malam yang tidak berjadual disebabkan had waktu pekerjaan sah anak kapal, dan kelewatan ketibaan lanjutan dari penundaan, antara lainnya.

Ia diikuti oleh faktor-faktor teknikal seperti kerosakan pesawat, penyelenggaraan mendesak yang tidak dijadualkan, serta kekurangan alat ganti atau peralatan penyelenggaraan, yang secara kolektif menyumbang kepada 25 peratus atau 41 penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam.

“Kedua-dua faktor operasi dan teknikal menyumbang kepada 96 peratus atau 160 penerbangan daripada jumlah penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam dalam tempoh perjalanan tersebut. Faktor-faktor penundaan penerbangan lain adalah disebabkan keadaan cuaca buruk,” jelasnya.

Menurut suruhanjaya itu, pihak sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai penyediaan penjagaan bagi 160 penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam untuk memastikan sama ada penjagaan seperti yangditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) telah disediakan bagi pengguna.

Tambahnya, pengguna yang terjejas oleh penundaaan penerbangan melebihi 2 jam disebabkan oleh faktor operasi dan teknikal hendaklah diberi makanan, panggilan telefon, dan akses internet.

“Tambahan itu, syarikat penerbangan perlu menyediakan penginapan, dan pengangkutan bagi penundaan penerbangan selama 5 jam atau lebih, sekiranya penginapan diperlukan oleh pengguna,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata, Suruhanjaya dalam proses pengesahan justifikasi yang diberikan oleh syarikat penerbangan berkaitan penyediaan penjagaan semasa penundaan penerbangan dalam tempoh yang ditinjau.

Tegas beliau, MAVCOM tidak akan teragak-agak untuk melaksanakankuasanya sekiranya justifikasi yang diberikan tidak memenuhi keperluan di bawah MACPC.

“Bergantung kepada jenis dan tahap ketidakpatuhan, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan yang tidak melebihi RM 200,000 untuk kesalahan pertama, dan dalam hal ketidakpatuhankedua atau yang berikutnya, suatu amaun 10 kali daripada penalti kewangan yang telah dikenakan sebelumnya bagi ketidakpatuhan terhadap MACPC,” katanya.

Tambah Saripuddin, sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan negara, adalah menjadi kewajipan MAVCOM untuk memastikan penyiasatan yang mendalam dan objektif dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil oleh Suruhanjaya.

“Selaras dengan mandat kami, MAVCOM bermatlamat untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial danberdaya tahan, sambil memperkasakan pengguna untuk melindungi hak-hak mereka sebagai
pengguna penerbangan.

“Suruhanjaya juga menggesa semua syarikat penerbangan memainkanperanan dalam mendidik pengguna mengenai hak-hak penerbangan mereka seperti yangdiperuntukkan dalam perenggan 19 MACPC,” katanya.

Selum ini, laman media sosial dibanjiri dengan perkongsian oleh pengguna pengangkutan penerbangan sebuah syarikat yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan apabila penerbangan mereka ditunda atau dijadualkan semula pada saat akhir.

Tindakan syarikat berkenaan menukar jadual penerbangan pada saat akhir membangkitkan kemarahan pengguna apabila ia dilihat seperti ‘lepas tangan’ dan tidak bertanggungjawab selain menyusahkan pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN