Ringgit mungkin lepasi RM4.50 berbanding dolar

Ringgit mungkin lepasi RM4.50 berbanding dolar

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi ringgit yang lemah berikutan strategi yang dilaksanakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan akan terus memberi kesan buruk sehingga ringgit boleh melepasi 4.500 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, naik turun nilai ringgit adalah daripada situasi semasa ekonomi global terutamanya tindakan AS yang menaikkan kadar faedahnya.

Katanya, ia telah pun memberi kesan kepada mata wang lain dunia termasuk ringgit serta pasaran saham seluruh dunia terutama sekali pasaran saham di AS sendiri yang sedang memasuki fasa menurun (bear). 

“Namun, berbanding mata wang negara lain, prestasi ringgit bercampur bergantung kepada strategi negara masing-masing untuk mempertahankan mata wang mereka.

“Jika mengikut keadaan semasa dengan strategi yang dilaksanakan oleh Fed AS sekarang, berkemungkinan ringgit akan melepasi RM4.50 tahun ini. Malaysia hanya negara kecil dan rizab kita sebanyak AS$100 bilion di Bank Negara juga tidak boleh digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan ringgit di pasaran,” katanya.

Terendah

Pada 19 Mei lalu, mata wang negara itu mencatatkan prestasi terendah berbanding dolar Amerika Syarikat dalam hampir dua tahun pada kadar 4.4023, selepas mengalami penyusutan ketara berbanding 4.3365 yang direkodkan sejak awal bulan ini.

Kali terakhir ringgit mencecah paras terendah berbanding dolar ialah pada 24 Mac 2020 apabila didagangkan pada 4.4385/4.4385.

Kelmarin, ringgit diniagakan 4.3868/4.3917 berbanding dolar AS namun meningkat sedikit kepada 4.39206/4.39668, semalam.

Bagi mengurangkan tekanan itu, Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan perlu mengurangkan membuat hutang baharu kerana ia membebankan terutamanya pinjamaan dalam mata wang asing kerana terdedah kepada risiko forex.

“Kerajaan perlu menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang banyak dan menggalakkan sektor swasta untuk berbelanja bagi membantu menaikkan ekonomi.

“Namun, bukan mudah bagi sektor swasta kerana kos dana meningkat dengan kenaikan kadar faedah pinjaman, malah mereka lebih memilih menyimpan deposit untuk mendapatkan pulangan,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi ringgit dijangka kekal bercampur-campur dan lemah berbanding mata wang utama dunia seperti dolar AS kerana faktor ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik di peringkat global. 

“Apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada import, selain memfokuskan kepada meningkatkan aktiviti dagangan domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN