Unjuran pertumbuhan ekonomi BNM realistik - Utusan Malaysia

Unjuran pertumbuhan ekonomi BNM realistik

NEGARA turut berpotensi untuk mendapat hasil tambahan di atas kenaikan harga komoditi seperti petroleum dan minyak sawi, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menyifatkan Unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3 hingga 6.3 peratus sebagai realistik.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, berdasarkan unjuran itu, ia bermakna nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini hanya perlu meningkat 2.5 peratus daripada nilai KDNK pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Negara juga berpotensi untuk mendapat hasil tambahan di atas kenaikan harga komoditi seperti petroleum dan minyak sawit.

“Sebagai perbandingan, pada 2019, harga minyak mentah brent tidak pernah melebihi AS$60 (RM252.27) se tong berbanding dengan harga sekarang yang melebihi AS$100 (RM420.45) se tong.

“Begitu juga dengan harga minyak sawit yang tidak pernah melebihi RM3,000 setiap tan sebelum ini tetapi kini sudah mencecah RM6,000 setiap tan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, tambah Ahmed Razman, dengan pembukaan sempadan bermula hari ini,  ia akan menggalakkan kemasukan pelancong asing ke Malaysia serta mampu merangsang pelbagai sektor seperti pelancongan dan peruncitan yang sekali gus akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanapun, jelasnya, inflasi mungkin akan meningkat sedikit disebabkan peningkatan kredit yang diwujudkan oleh pinjaman bank komersial.

“Oleh itu, kerajaan harus menggunakan hasil negara dengan sebaiknya untuk memastikan rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga tersebut,” ujarnya.

Kelmarin, BNM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar antara 5.3 dan 6.3 peratus untuk tahun ini, dengan mengambil kira impak konflik Rusia-Ukraine dan gangguan rantaian bekalan ekoran pandemik.

Ia adalah sedikit rendah berbanding unjuran terdahulu iaitu antara 5.5 hingga 6.5 peratus untuk 2022.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunos berkata, ketika pemulihan ekonomi kekal pada landasan tepat meskipun dalam persekitaran global yang mencabar, risiko kepada prospek ekonomi kekal condong ke arah lebih rendah.

Selain itu katanya, pertumbuhan ekonomi tahun ini akan disokong pengembangan berterusan dalam permintaan luar, kelegaan langkah pembendungan dan pembukaan sempadan serta penambahbaikan dalam prospek pendapatan dan pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN