Permintaan barangan Malaysia dijangka kekal tinggi - Utusan Malaysia

Permintaan barangan Malaysia dijangka kekal tinggi

PERMINTAAN barangan dari Malaysia dijangka kekal tinggi untuk beberapa bulan lagi berikutan faktor bekalan global masih tidak stabil. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan barangan dari Malaysia dijangka kekal tinggi untuk beberapa bulan lagi berikutan faktor bekalan global masih tidak stabil.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peningkatan eksport negara terutamanya pada Mac lalu membuktikan ekonomi negara kembali menjadi rancak dan memungkinkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dapat dicapai.

“Malah, pencapaian eksport bulan Mac tahun ini adalah lebih tinggi dari mana-mana bulan pada 2021. Antara sebab kenaikan eksport itu adalah kenaikan gara komoditi seperti petroleum dan minyak sawit yang mendapat permintaan tinggi kerana krisis antara Rusia dan Ukraine.

“Justeru, permintaan terhadap barangan daripada Malaysia dijangka kekal tinggi untuk beberapa bulan lagi kerana faktor bekalan global masih lagi tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang kerajaan perlu lakukan sekarang adalah memastikan kepelbagaian penawaran barangan dan perkhidmatan supaya tidak terlalu bergantung kepada barangan elektronik dan komoditi semata-mata tetapi meneruskan usaha ke arah ekonomi digital.

Jelasnya, itu perlu dilakukan supaya negara boleh bersaing dan kekal mampan lebih-lebih lagi apabila Malaysia terlibat dalam pelbagai perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Bagaimanapun, ekonomi yang kembali meningkat kebiasaannya akan menyebabkan inflasi turut meningkat.

“Bagaimanapun, saya melihat peningkatan kadar inflasi akan kekal terkawal sekitar dua hingga tiga peratus sahaja disebabkan pemantauan berterusan oleh kerajaan ke atas barangan terutamanya barangan keperluan asas,” jelasnya.

Baru-baru ini, Malaysia merekodkan prestasi dagangan yang kukuh pada Mac lalu dengan pertumbuhan 27.3 peratus tahun ke tahun untuk mencapai nilai tertinggi baharu berjumlah RM236.6 bilion.

Malah lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai eksport dan import negara para Mac sekali lagi memecahkan rekod tertinggi baharu, masing-masing berjumlah RM131.6 bilion dan RM104.9 bilion.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti INCEIF, Prof. Madya Dr Baharom Abdul Hamid berpendapat, selain menyumbang kepada KDNK negara, peningkatan dan prestasi memberangsangkan sektor eksport itu juga mempunyai kesan limpahan kepada industri sokongan.

“Ia juga mempunyai kesan yang amat kritikal kepada pengwujudan pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran selain menyumbang kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terlibat dalam industri sokongan.

“Sektor eksport secara langsung tiada kesan yang kuat terhadap inflasi kerana sektor eksport menggambarkan peningkatan dalam permintaan sektor luar, inflasi lebih banyak digerakkan oleh peningkatan permintaan domestik,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN