LZS sasar kutipan zakat RM1.5 bilion - Utusan Malaysia

LZS sasar kutipan zakat RM1.5 bilion

AHLI Lembaga Pemegang Amanah LZS,Tan Sri Raja Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdullah membentangkan laporan kutipan dan agihan zakat LZS bagi tahun 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Zakat Malaysia (LZS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1.5 bilion untuk tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, kutipan sebelum ini kurang kira-kira RM700 juta untuk mencapai sasaran RM1 bilion dan pihaknya ingin melepasi paras itu.

“Setelah membuat perbincangan dengan ahli-ahli, sasaran seterusnya ialah RM1.5 bilion. Bajet kami untuk 2022 adalah RM1.05 bilion, dan saya rasa sasaran itu boleh dicapai sekiranya kami bekerja keras,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, semalam.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2021, LZS telah mencatatkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM993 juta dan mengagihkan sebanyak RM922 juta.

Pada 2021, LZS mengagihkan sebanyak RM922 juta zakat kepada asnaf di Selangor berbanding RM867 juta pada 2020. Jumlah agihan zakat itu meningkat sebanyak 6.0 peratus, dengan perbezaan sebanyak RM55 juta.

Jumlah Asnaf dalam kategori fakir dan miskin yang disantuni pada 2021 adalah sebanyak 69,011 keluarga, meningkat disebabkan kesan Covid-19 yang menjejaskan pekerjaan dan pendapatan ramai individu.

Syed Anwar memaklumkan, sebagai sebuah institusi zakat, LZS terus memegang amanah umat Islam di Selangor dengan mengekalkan kualiti perkhidmatan dan kecemerlangan tinggi dalam pengurusan kutipan dan pengagihan zakat agar keperluan Asnaf dapat dipenuhi dengan efektif dan efisien.

“Menyedari cabaran ekonomi dan lebih 100,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan sejak permulaan wabak, LZS turut menggiatkan usaha proaktif menyokong komuniti yang memerlukan.

“Secara keseluruhan, sebanyak RM63 juta wang zakat disalurkan untuk menyantuni mereka yang terjejas akibat COVID-19 pada 2021, termasuklah RM1 juta dana pengurusan operasi Amil bagi menyokong petugas barisan hadapan, hospital dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” ujarnya.

Selain itu, ujarnya, LZS turut mengagihkan sebanyak RM25 juta pada suku terakhir bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di Selangor.

Bantuan itu termasuk bantuan segera bernilai RM350,000 dalam bentuk makanan kering dan keperluan asas kepada mangsa banjir, selain bantuan RM600 yang disalurkan kepada 29,720 orang mangsa banjir melalui inisiatif LZS Peduli.

“Sejak LZS lebih 25 tahun lalu, kami telah mencatatkan peningkatan yang stabil dalam bilangan pemegang taruh yang memerlukan perkhidmatan LZS.

“Bilangan Asnaf di Selangor dijangka meningkat pada kadar purata 6 peratus mulai 2021 dan seterusnya, mencecah lebih 105,000 keluarga menjelang 2030. Justeru, LZS akan terus menambah baik operasinya bagi mempertingkatkan perkhidmatan yang diberikan agar dapat memenuhi keperluan asnaf yang semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN