Kadar gaji bukan penyebab inflasi - Utusan Malaysia

Kadar gaji bukan penyebab inflasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan kadar gaji minimum tidak semestinya didatangkan dengan tekanan inflasi yang tinggi dan berkemungkinan mampu membawa kesan lebih positif kepada rakyat Malaysia

Ketua Penyelidikan di Fakulti Perniagaan dan Undang-undang Taylor’s University, Profesor Dr. Hafezali Iqbal Hussain berpendapat, kerisauan itu mungkin tidak ketara kerana kebanyakan gaji pekerja di kawasan bandar adalah hampir dengan kadar yang dicadangkan iaitu RM 1,500.

Justeru katanya, tekanan harga tambahan di kawasan bandar mungkin hanya sedikit sahaja dan bukan di tahap yang membebankan pengguna. 

“Sebagai contoh, jika pemilik restoran tiba-tiba terpaksa membayar pekerjanya RM 1,500 dan bukannya RM 1,200, dia perlu menaikkan harga produknya untuk mengambil kira kenaikan kos ini. Namun, mungkin kenaikan gaji itu hanya sedikit dan tidak menjejaskan operasi secara keseluruhan.

“Selain itu, berkemungkinan kadar baharu ini akan menyumbang kepada perbezaan gaji dan kos di bandar berbanding kawasan luar bandar yang akan menguntungkan lebih ramai pekerja di luar bandar, selaras dengan pendekatan semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu iaitu pada RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara, namun hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pelaksanaan tersebut mewujudkan pelbagai kegusaran dalam kalangan ahli ekonomi dan majikan, membayangkan kenaikan kadar inflasi dan harga barang yang bakal membebankan rakyat di tengah-tengah situasi pandemik ini.

Mengulas lanjut, Hafezali menegaskan, inflasi tidak menjadi faktor yang penting sebagai penentu guna tenaga di Malaysia malah, penyelidikan di Malaysia menunjukkan bahawa pasaran buruh cenderung mengikut teori kecekapan gaji di mana peningkatan kos akan dipulihkan melalui produktiviti yang lebih tinggi.

“Oleh itu, tekanan inflasi tidak mungkin menjadi teruk, memandangkan peningkatan produktiviti kemudian akan mengatasi potensi kenaikan paras harga. Dengan ini, nampaknya kadar baharu gaji minimum yang lebih tinggi mungkin menunjukkan gambaran positif secara keseluruhan.

“Walau bagaimanapun, memandangkan potensi ia boleh membahayakan PMKS yang tidak dapat menawarkan gaji yang lebih tinggi, terdapat keperluan untuk meneroka mekanisme di luar gaji minimum pada masa hadapan. 

“Setakat ini, penguatkuasaan undang-undang gaji minimum meletakkan peranan mengurangkan kemiskinan kepada pemilik perniagaan, tetapi pendekatan berbeza melalui program kebajikan sosial untuk pekerja bergaji rendah akan membolehkan semua pembayar cukai berkongsi beban kewangan,” ujarnya.

Tambah beliau, ada pihak yang menganggap pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi merugikan pekerja bergaji rendah kerana ia adalah nilai tiruan yang dikenakan oleh kerajaan dan bukannya ditentukan melalui kuasa pasaran. 

“Ini kerana mereka yang mempunyai kemahiran atau pengalaman yang lebih rendah mempunyai tahap produktiviti yang lebih rendah. Oleh itu, struktur kos yang lebih tinggi akan menangguhkan pengambilan pekerja ini daripada menggaji mereka pada gaji yang lebih rendah sehingga mereka menjadi lebih berpengalaman.

“Bagaimanapun, pada pendapat saya, dasar gaji di Malaysia harus berdasarkan konteks domestik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN