S&P 500 meningkat tiga hari berturut-turut - Utusan Malaysia

S&P 500 meningkat tiga hari berturut-turut

SEORANG pelabur melihat prestasi pasaran saham Asia. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Indeks S&P 500  meningkat untuk hari ketiga pada Isnin, apabila kenaikan mendadak dalam saham Tesla membayangi kelemahan dalam tenaga dan saham bank, sementara Rusia dan Ukraine bersedia untuk mengadakan rundingan damai bersemuka pertama mereka dalam tempoh lebih dua minggu.

Saham pembuat kereta elektrik Tesla Inc. melonjak 8.03 peratus dan merupakan rangsangan terbesar kepada S&P 500 dan selepas Nasdaq berkata, ia akan mendapatkan kelulusan pelabur untuk menambah bilangan sahamnya bagi membolehkan pembahagian saham. Perkembangan itu membantu menaikkan indeks pengguna 2.67 peratus sebagai sektor berprestasi terbaik pada sesi tersebut.

Indeks tenaga S&P turun 2.56 peratus, adalah sektor yang berprestasi paling teruk pada sesi berkenaan selepas harga minyak jatuh susulan penutupan di hab kewangan Shanghai, China untuk mengekang lonjakan jangkitan Covid-19 yang mencetuskan kebimbangan ke atas permintaan.

Sementara itu, saham Exxon Mobil Corp. kehilangan 2.81 peratus dan Chevron Corp. jatuh 1.75 peratus.

Lapor Reuters, kaunter kewangan juga merupakan antara sektor yang lebih lemah, sebahagiannya disebabkan oleh penurunan taraf Morgan Stanley kepada bank-bank Amerika Syarikat (AS). Firma itu berkata, risiko yang semakin meningkat dan kemungkinan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) telah pun dinilai oleh pasaran. Indeks bank S&P susut 0.99 peratus.

“Penjualan dalam pasaran bon disambung semula semalam, dengan hasil jangka pendek mencecah paras tertinggi sejak 2019 dan keluk hasil yang diukur oleh jurang antara hasil lima dan 30 tahun, terbalik buat kali pertama sejak awal 2006.

“Ia meningkatkan kebimbangan bahawa dasar monetari Fed yang lebih agresif akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan berpotensi menyebabkan kemelesetan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Wedbush Securities di San Francisco, Stephen Massocca berkata, ramai orang memiliki saham kewangan atas dasar ia akan menjadi lebih baik dalam persekitaran kadar yang lebih tinggi.

“Jadi saya tidak terkejut melihat kaunter kewangan mundur berbanding apa yang sedang berlaku dalam pasaran bon.

“Sudah tentu kaunter-kaunter komoditi telah meningkat begitu tinggi dan hangat sehingga tidak pelik untuk melihat ia jatuh.

“Itulah yang menyebabkan pasaran turun, tetapi saya masih berpendapat berita untuk kebanyakan syarikat komoditi akan menjadi sangat bagus,” katanya.

Purata saham perindustrian Dow Jones meningkat 94.65 mata atau 0.27 peratus kepada 34,955.89, S&P 500 menokok 32.46 mata atau 0.71 peratus kepada 4,575.52 dan Nasdaq Composite meningkat 185.60 mata atau 1.31 peratus kepada 14,354.90. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN