Sektor pembuatan catat peningkatan 13.1 peratus - Utusan Malaysia

Sektor pembuatan catat peningkatan 13.1 peratus

getah
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembuatan negara berkembang sebanyak 13.1 peratus pada Januari dengan nilai jualan berjumlah RM139.0 bilion berbanding RM120.0 bilion bulan yang sama tahun lalu.

Nilai jualan itu bagaimanapun, menurun sebanyak 3.4 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan nilai jualan pada bulan tersebut adalah dipacu oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (20.6 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan produk makanan.

“Pengembangan itu juga didorong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (15.7 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk kok dan produk petroleum bertapis dan subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (10.6 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

“Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 71.0 peratus dari jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 14.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 10.1 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun 2021.

“Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport merekodkan penurunan 4.9 peratus manakala industri berorientasikan domestik bertumbuh 0.3 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memberitahu, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Januari 2022 adalah seramai 2,274,146 orang, meningkat 2.2 peratus berbanding 2,225,697 orang pada Januari 2021.

Jelasnya, peningkatan itu disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (4.8 peratus), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (3.1 peratus) dan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (1.8 peratus).

“Selain itu, jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,865.3 juta, meningkat 4.1 peratus atau RM307.3 juta pada Januari lalu berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 10.7 peratus kepada RM61,116 berbanding RM55,213 bulan yang sama tahun lalu. 

“Purata gaji dan upah setiap pekerja pula adalah sebanyak RM3,459 pada Januari lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN