PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Schlumberger WTA (M) Sdn. Bhd. (Schlumberger) untuk bersama-sama meneroka peluang dalam bidang kemampanan, digital dan teknologi Internet Kebendaan (IoT), serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan inisiatif kemampanan utama seperti penyediaan Pusat Kecemerlangan Tangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS), merangkumi repositori data berasaskan awan untuk penyimpanan karbon, teknologi pengasingan karbon dioksida (CO2) dan pembangunan kecekapan program serta pengurusan pelepasan.
Ini sejajar dengan usaha Petronas untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli berkata, pihaknya berharap dapat memanfaatkan keupayaan Schlumberger untuk membangunkan teknologi yang boleh dipercayai, selamat dan sedia untuk digunakan dalam mengurangkan jejak karbon dalam operasi huluan kumpulan.
“Kerjasama ini juga diharap dapat membangunkan rangka kerja keupayaan yang betul dan repositori data yang cekap.
“Kami yakin kerjasama ini akan terus memberi inspirasi kepada penyelesaian yang lebih inovatif ke arah mengurus pelepasan karbon yang menyokong aspirasi kami untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.
Menandatangani MoU bagi pihak Petronas ialah Naib Presiden Pusat Kecemerlangan, Huluan, Chen Kah Seong manakala Schlumberger diwakili oleh Presiden Lembangan Asia, Amy Chua.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Teknologi Petronas, Dr. Nasir Darman dan Pengarah Schlumberger, Zahris Sham Abu Musa.
Petronas juga menyasarkan lebih banyak pembakaran berterusan dan pelepasan hidrokarbon sifar dengan menggunakan teknologi yang mengurangkan pelepasan merentasi rantaian nilai.
Syarikat sedang melaksanakan langkah membina portfolio yang berdaya tahan dan mampan untuk menyokong peralihan ke arah sumber tenaga karbon rendah kepada sifar. – UTUSAN