PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar antara 5.3 dan 6.3 peratus untuk tahun ini, dengan mengambil kira impak konflik Rusia-Ukraine dan gangguan rantaian bekalan ekoran pandemik.
Ia adalah sedikit rendah berbanding unjuran terdahulu iaitu antara 5.5 hingga 6.5 peratus untuk 2022.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunos berkata, ketika pemulihan ekonomi kekal pada landasan tepat meskipun dalam persekitaran global yang mencabar, risiko kepada prospek ekonomi kekal condong ke arah lebih rendah.
“Cabaran utama pada 2022 ialah perkembangan pandemik Covid-19, konflik geopolitik berterusan serta peningkatan kos dan tekanan harga.
“Situasi Rusia-Ukraine pula masih tidak stabil dan perkara ini akan mempengaruhi ekonomi negara berikutan masalah rantaian bekalan global,” katanya dalam sidang akhbar secara maya sempena penerbitan Laporan Tahunan BNM 2021, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2021, semalam.
Bank pusat itu berkata, pertumbuhan ekonomi tahun ini akan disokong pengembangan berterusan dalam permintaan luar, kelegaan langkah pembendungan dan pembukaan sempadan serta penambahbaikan dalam prospek pendapatan dan pekerjaan.
Selain itu katanya, inflasi keseluruhan negara tahun ini diunjurkan kekal terkawal, berpurata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus manakala inflasi bahan api yang mendorong inflasi keseluruhan menjadi lebih tinggi pada 2021 diunjurkan sederhana.
Bagaimanapun jelasnya, kenaikan ini sebahagiannya akan terus dikurangkan oleh kawalan harga untuk barangan makanan terpilih.
“Inflasi bahan api yang kekal sederhana berlaku meskipun harga minyak global dijangka lebih tinggi, berikutan andaian bahawa harga siling bagi bahan api runcit domestik kekal tidak berubah sepanjang tahun.
“Kos input yang tinggi ekoran harga komoditi bukan tenaga yang semakin meningkat dijangka memberikan tekanan kepada harga makanan segar terpilih, terutamanya pada separuh pertama tahun tersebut,” katanya.
Pada masa sama, kadar hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar di Malaysia kekal tinggi pada 89 peratus setakat Disember 2021 berbanding negara serantau contohnya 69.7 peratus di Singapura, 17.2 peratus di Indonesia dan 9.9 peratus di Filipina.
Menurut Nor Shamsiah, langkah BNM mengekalkan Kadar dasar Semalaman (OPR) pada paras terendah 1.75 peratus adalah untuk mengekalkan sokongan kepada ekonomi dengan tumpuan dasar adalah menyokong kemampanan pemulihan ekonomi dan mengekalkan kestabilan harga.
“Kami menjangkakan pemulihan ekonomi akan berterusan dalam persekitaran yang mencabar. Memandangkan ketidaktentuan ini, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu,” katanya. – UTUSAN