Yamaha MT-09 2022 didatangkan dengan pembaharuan rupa bentuk

[PERMOTORAN] Yamaha MT-09 – Revolusi pengendalian terkini?

Yamaha MT-09 sebuah motosikal Street Naked, minimalis, dan memenuhi permintaan peminat-peminat motosikal yang menginginkan motosikal lasak. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA kemunculannya di tanah air pada 2015, saya berupaya menunggang uji model pertamanya. Namun, disebalik kegairahan saya untuk menunggangnya, terutama setelah menonton sendiri video promosi, penerangan secara teknikal dan melihat sendiri rupa bentuknya, saya turun daripada jentera MT-09 dengan perasaan agak kecewa kerana prestasi suspensi motosikal ini. Begitu juga prebiu-prebiu yang saya baca di internet. Rata-rata video/artikel pandu uji dari luar negara juga mengatakan kekecewaan yang sama.

Pada 2017, model kedua telah dilancarkan dan ia tampak lebih ‘jahat’ dengan lampu yang seakan-akan sama dengan ‘abangnya’ iaitu MT-10. Sistem suspensi telah dipertingkatkan sedikit dan bagi saya, edisi ke-2 ini tampak lebih ‘serius’ dan lebih fokus terhadap prestasi penunggangan.

Kini, Yamaha sekali lagi memperkenalkan versi ke-3. Saya berpeluang untuk menunggang seunit jentera ini untuk saya paparkan pada anda semua. Adakah `luka lama’ bakal berdarah kembali?

PENAMPILAN
Seperti model-model yang lepas, MT-09 2022 adalah sebuah motosikal Street Naked, minimalis, dan memenuhi permintaan peminat-peminat motosikal yang menginginkan motosikal lasak, ganas dan sesuai untuk kegunaan harian mahupun memuaskan kehendak penunggangan bersama rakan-rakan menyusuri jalan berliku.

Perkara pertama yang anda akan perasan ialah, lampu hadapannya kini ditukar menjadi satu lampu projektor dan dua lampu LED sebaris di kiri dan kanan. Ujian saya terhadap kecerahan lampu projektor ini di kawasan yang gelap, ternyata berfungsi baik dengan suluhan yang cukup terang, bukaan cahaya yang baik serta versi lampu ‘jauh’ (hi beam) agak baik.

Meter MT-09 sememangnya terkenal dengan saiz kecilnya sejak versi pertama lagi, akan tetapi untuk model 2022 ini, meter TFT-LCDnya adalah berwarna, memaparkan informasi-informasi yang anda perlukan, serta kebolehan untuk melaraskan penalaan enjin mengikut kemahuan dan kehendak anda dengan hanya tombol-tombol yang tersedia pada handel.

Perendam bunyi ekzos Yamaha MT-09 2022 ini juga didatangkan dengan sedikit pembaharuan daripada rupa bentuknya. Ia kini terletak di bawah bahagian enjin dan tidak lagi sedikit terkeluar seperti model sebelumnya.

Meter MT-09 berwarna, memaparkan pelbagai informasi diperlukan.

PENUNGGANGAN
MT-09 model ketiga ini juga diwar-warkan datang dengan enjin baharu, pengurangan sebanyak lebih daripada 3kg (enjin sahaja), chasis yang diperteguhkan daripada model sebelumnya, sistem elektronik pengenderaan enjin yang menampilkan unit pengukuran inersia enam paksi (six-axis Inertial Measurement Unit -IMU), yang mana terbukti keberkesanan pengendaliannya pada jentera YZF-R1 tetapi dikecilkan hampir 50 peratus dan lebih ringan sebanyak 40 peratus apabila direka semula kedudukan sensor-sensornya. Ini membolehkan penunggangnya mampu melaraskan sendiri Sistem Keberkesanan Cengkaman (Traction Control), Pengawalan Kegelinciran (Slide Control) dan Pencegahan Roda depan terangkat (Front Wheel Lift).

Begitupun, secara keseluruhannya masih mengekalkan konsep 3 silinder crossplane yang juga dibawa daripada model Yamaha R1, serta pacuan 6 gearnya sudah tentu dilengkapi dengan sistem klac “slip and assist” membolehkan anda naik atau turun gear tanpa perlu menarik tuil klac.

Peningkatan sistem elektronik penyelenggaraan enjin ini ternyata membuatkan prestasi enjin MT-09 2022 ini sangat baik, menarik dan mengujakan. Namun, di sinilah bagi saya terhenti keseronokannya. Suspensi hadapan dan belakangnya seolah-olah kembali kepada versi pertama dahulu yang mana ia terlalu lembut dan agak menyeramkan apabila saya mula menunggang secara lebih ekstrim.

Menurut sumber internet, model 2022 ini sepatutnya mempunyai kenaikan taraf yang besar di bahagian suspensi, yang kini adalah jenis “upside down”, berdiameter sebesar 41mm, dan sistem suspensi tunggal bagi unit belakang juga dikatakan diperbaharui dengan sambungan ke lengan ayun baharu. Roda-rodanya juga dikatakan jenis aloi yang lebih ringan 700 gram secara keseluruhan yang secara teorinya mampu berputar lebih laju dengan daya inersia yang dikurangkan sebanyak 11 peratus.

Apabila jentera kita sudah tentu mempunyai peningkatan dari segi kebolehan dan kuasa, kelajuan sudah tentu menjadi hasil akibat naik taraf sistem elektronik ini. Maka, ketika membrek untuk bersiap sedia ambil selekoh, terasa akan bahagian handle akan turun dengan drastik sehingga memaksa saya memegang handle dengan teguh dan kuat untuk menstabilkan roda hadapan. Dalam pengendalian selekoh pula, apabila pendikit mula diperah, ternyata suspensi belakang mula membuai-buai sehingga memberikan perasaan tidak yakin mula timbul.

Pengalaman ini ternyata seperti membawa kepada perasaan saya ketika mula menguji Yamaha MT-09 2015 dahulu. Tidak dapat tidak, perasaan kecewa terus menyelebungi diri dan agak hairan kenapa Yamaha Motors seolah-olah tidak ‘perasan’ akan masalah ini. Permasalahan ini secara lantang dikemukakan dalam video-video YouTube antarabangsa, dan bukan sahaja saya, malah wartawan-wartawan lain turut menyatakan masalah yang sama.

Suspensi yang lembut ini memang secara umumnya sangat sesuai digunakan dalam kota, bandar atau jalan raya-jalan raya Persekutuan yang kebanyakannya tidak rata, berlubang-lubang mahupun, bertampal-tampal. Suspensi lembut ini sudah tentu tidak membebankan lengan atau tapak tangan kerana menyerap hentakkan daripada kesan-kesan melalui jalan-jalan tidak rata. Namun, apakah gunanya mempunyai kebolehan sistem enjin yang lebih teknikal, sistem elektronik dan kuasa yang dipertingkatkan, tetapi `digagalkan’ oleh sistem suspensi yang lemah ketika peningkatan kelajuan terjadi dan pengambilan selekoh-selekoh secara ekstrim.

KESIMPULAN
Yamaha MT-09 2022i bagi saya memberikan perasaan bercampur baur dan hampir pasti gagal memikat saya untuk memilikinya. Imej MONSTERS OF TORQUE ternyata dikecewakan oleh KYB atau KAYABA selaku pembekal rasmi sistem suspensi hadapan dan belakang Yamaha MT-09 2022 ini. Nasihat saya, sekiranya anda meminati rupa bentuk fizikal model ini dengan rekaan lampu hadapan baharu yang seolah-olah sebuah robot Transformer, pastikan perkara pertama anda lakukan adalah melaraskan suspensi semula, mengikut selera, kebolehan dan tahap skil penunggangan anda. Atau, cara mudah, gantikan sistem suspensi depan dan belakang kepada jenama-jenama yang baik yang berada dalam pasaran luar sana.

Perkara yang anda perlu tahu, model MT-09 ini adalah model asas untuk Yamaha TRACER GT yang jauh lebih baik suspensi dan pengendaliannya. Ia juga salah satu fakta yang mengecewakan bagi saya.

Ada pepatah Inggeris mengatakan “If it ain’t broke, don’t fix it?”, inilah yang patut dijadikan pedoman oleh Yamaha Motors Japan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN