Pembukaan sempadan sepatutnya sudah lama - Utusan Malaysia

Pembukaan sempadan sepatutnya sudah lama

KERAJAAN sepatutnya sudah lama membuka semula sempadan negara untuk kemasukan pelawat asing terutama pelancong yang memberi banyak faedah kepada rakyat. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan sepatutnya sudah lama membuka semula sempadan negara untuk kemasukan pelawat asing terutama pelancong yang memberi banyak faedah kepada rakyat,  tegas Pengerusi Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamaruddin Mohd. Hussain.

Beliau yang mewakili lebih 40,000 pengusaha berkenaan termasuk di Sabah dan Sarawak berkata, isu wabak sebenarnya bukanlah masalah besar jika diuruskan dengan cara yang betul.

“Di luar negara, kita sudah boleh lihat banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) terutama pemakaian pelitup muka kerana semakin ramai sudah pun lengkap menerima vaksin.

“Meskipun Covid-19 memang tidak dapat langsung dihapuskan, penularan pandemik ini boleh dikawal dengan disiplin kendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan kembali dibuka bermula awal bulan depan setelah ditutup ketat akhir Mac 2020 lepas.

Dianggarkan sebanyak 700 pemandu teksi limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang yang teruk kehilangan pendapatan sejak wabak itu bermula dua tahun lalu.

Selain itu, ada yang hampir setahun terpaksa mencari pekerjaan lain kerana tidak mampu menanggung pelbagai komitmen bulanan serta terpaksa dibantu oleh Majlis Agama Islam Islam Selangor.

Mengulas lanjut, Kamaruddin memberitahu, GTSM yang ditubuhkan pada 2018 lalu melihat, kelonggaran SOP itu wajar dengan merujuk banyak negara Islam memansuhkan jarak solat berjemaah di masjid.

“Negara kita rugi puluhan bilion ringgit apabila sempadan negara ditutup dan menyebabkan kesan rantaian kepada ribuan pengusaha sektor pelancongan domestik.

“Justeru, saya berharap pengusaha pengangkutan awam terutama teksi limosin di lapangan terbang dapat menarik nafas lega dalam merancakkan semula ekonomi negara selepas ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN