PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekurang-kurangnya sehingga suku keempat tahun ini, walaupun berdepan kenaikan dalam inflasi berikutan krisis global semasa.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ini kerana, sebarang kenaikan dalam OPR akan menggencatkan pencapaian matlamat pemulihan ekonomi berdasarkan sentimen semasa.
“Ia seperti satu dilema bagi BNM dalam usahanya mengejar matlamat yang berbeza di antara mencapai matlamat kestabilan harga dan mengekalkan inflasi yang rendah, dengan mencapai guna tenaga yang tinggi serta pertumbuhan ekonomi yang lestari.
“Dasar monetari yang meluas seharusnya boleh membantu usaha BNM dalam memastikan pemulihan ekonomi terus diuruskan dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, BNM mengekalkan OPR pada 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari keduanya bagi tahun ini.
Bank pusat itu berkata, keseluruhan trajektori pemulihan kekal berada di landasannya meskipun aktiviti ekonomi yang sederhana sedikit baru-baru ini disebabkan oleh penularan semula COVID-19 yang didorong oleh varian Omicron.
Jelas BNM, Inflasi kekal tinggi dalam banyak ekonomi disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan. Pada masa hadapan, lebih banyak negara akan beralih kepada pengurusan Covid-19 secara endemik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global.
Sementara itu, Pengurus Negara iProperty.com.my, Shylendra Nathan berpendapat, pengekalan OPR memang telah dijangkakan memandangkan tahun ini penting bagi ekonomi negara terus pulih selepas kehadiran wabak Covid-19 pada 2020.
Jelasnya, keputusan itu juga tepat kerana industri utama seperti hartanah dan pelancongan berkemungkinan mengalami pemulihan yang dipercepatkan kerana sempadan Malaysia dijangka dibuka semula pada suku kedua tahun ini.
“Namun, sekiranya BNM memutuskan untuk meningkatkan OPR dalam masa terdekat, ia harus dilakukan secara progresif, selaras dengan keadaan ekonomi semasa.
“Peningkatan secara beransur-ansur dalam tempoh satu tahun akan membolehkan rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan kenaikan kadar faedah dan menyediakan kewangan mereka dengan lebih baik dalam menjangkakan pemulihan ekonomi selanjutnya.
“Tambahan pula, ia akan memberi pengguna masa yang mencukupi untuk menikmati persekitaran kadar faedah yang rendah seterusnya menggunakan wang untuk keperluan penting seperti barangan isi rumah dan rawatan penjagaan kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN