MPOB memeterai memorandum perjanjian dengan UPSI

MPOB, UPSI kongsi kepakaran kajian pengekspresan, pencirian enzim lipase pokok sawit

AHMAD Parveez Ghulam Kadir (kiri) dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff menandatangani memorandum perjanjian kerjasama dan perkongsian kepakaran penyelidikan membabitkan industri sawit, di Bangi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menjalin kerjasama dan perkongsian kepakaran penyelidikan terutama dalam kajian pengekspresan dan pencirian enzim lipase daripada pokok sawit (Elaeis guineensis).

Melalui kerjasama itu, MPOB dan UPSI juga akan berkongsi kepakaran penyelidikan dalam bidang lain yang akan dipersetujui bersama pada masa akan datang.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, kerjasama itu diharap dapat memberi impak yang positif kepada UPSI, MPOB dan industri sawit Malaysia khususnya dalam memanfaat penemuan potensi enzim lipase daripada pokok sawit sebagai bio-pemangkin untuk aplikasi dalam pelbagai sektor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, MPOB mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi berkaitan sawit terutamanya dalam program biak baka, program genom, program transgenik, program proteomik & metabolomik, program fenolik dan program kultur tisu dalam memajukan sektor huluan sawit negara. Manakala UPSI pula mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi mikroorganisma (microbial biotechnology).

“Perkongsian kepakaran terutamanya dalam bidang bioteknologi akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar Sarjana Muda UPSI dalam bidang bioteknologi untuk mendapatkan kepakaran dan menggunakan kemudahan penyelidikan di MPOB dalam melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit yang akan dipantau oleh pihak MPOB,” kata beliau di majlis tersebut di Bangi, hari ini.

Menurut Ahmad Parveez, MoA itu antara usaha MPOB melahirkan penyelidik yang akan membantu dan menyumbang kepada pertumbuhan mampan industri sawit negara.

Malah katanya, kerjasama itu adalah antara usaha MPOB bagi pembangunan kajian dalam bidang bioteknologi berkaitan sawit dengan penglibatan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam negara.

“Usaha sama antara MPOB dan UPSI dalam pembangunan kajian ini akan menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang sekali gus akan meningkatkan kemajuan industri sawit negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini