PUTRAJAYA: Malaysia meminta Amerika Syarikat (AS) bertindak lebih telus dengan memberikan maklumat tepat kepada pihak yang terkesan dengan tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara itu berikutan dakwaan terdapat elemen buruh paksa di sektor perladangan negara ini.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin dalam pertemuan beliau dengan Duta AS dan delegasi beliau pada 17 Mac lalu berhubung tindakan CBP ke atas produk komoditi negara.
“(Pihak CBP AS) perlu membuat pengesahan dengan pihak berwajib di negara ini agar tiada pihak yang mengambil kesempatan ke atas situasi yang berlaku.
“Pertemuan dengan agensi berkaitan di AS juga akan dilaksanakan selepas tertangguh sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Zuraida menegaskan, kerajaan tidak sekali-kali mempertahankan mana-mana syarikat perladangan di dalam negara yang terbabit dalam elemen buruh paksa.
Bagaimanapun katanya, usaha kementerian dalam menangani dakwaan amalan buruh paksa di sektor perladangan negara, adalah demi menjaga kepentingan komoditi sawit Malaysia.
Jelasnya, kementerian dimaklumkan, syarikat-syarikat perladangan terbabit dengan tuduhan AS itu telah melantik perunding bebas bagi membuat penilaian semula dan proses audit dalam usaha membuktikan mereka sebenarnya mematuhi undang-undang buruh yang ditetapkan.
Tambahnya, amalan buruh yang baik di semua sektor agrikomoditi, sentiasa menjadi keutamaan kerajaan termasuk kementeriannya kerana Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan undang-undang.
Katanya, ini melibatkan kebajikan pekerja, sekali gus menyatakan pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa.
“Komitmen Malaysia itu turut dibuktikan melalui Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan pada tahun 2018 dengan kerjasama teknikal daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Laporan kajian tersebut juga telah diserahkan kepada pihak Amerika Syarikat pada bulan November 2020,” katanya.
Zuraida berkata, kerajaan malah memastikan kebajikan dan hak-hak pekerja turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bawah Akta Standard Minimum, Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.
Katanya, pematuhan terhadap akta berkenaan amat penting kerana ia akan membuktikan bahawa Malaysia patuh terhadap piawaian digariskan pihak ILO dalam aspek membanteras elemen buruh paksa.
Bukan itu sahaja, katanya, pelancaran Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa (NAPFL) pada November tahun lalu, menggariskan inisiatif Malaysia melalui rangka kerja yang berstruktur ke arah menghapuskan gejala buruh paksa membuktikan komitmen negara dalam isu ini apatah lagi sawit merupakan komoditi nombor satu yang memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Kementerian ini secara aktif mengadakan sesi penerangan dan dialog dengan pemain industri di sektor sawit untuk memberikan penjelasan berhubung isu buruh paksa yang telah lama didebatkan.
“Sesi ini dibuat secara bersiri bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengikut zon yang turut melibatkan wakil daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga ILO,” katanya.
Sebelum ini, CBP AS mengenakan tindakan terhadap Sime Darby Plantation (SDP) atas alasan isu buruh paksa.
Berikutan itu, pihaknya merampas empat penghantaran minyak sawit Malaysia bernilai hampir AS$2.5 juta (RM10.45 juta) di Baltimore berikutan maklumat menunjukkan minyak sawit itu dihasilkan oleh buruh paksa.
Menurut CBP AS, mereka telah merampas hampir AS$2.5 juta produk minyak sawit, termasuk penghantaran terbaharu pada 1 Mac 2022, setelah mendapat tahu minyak sawit itu dikilang menggunakan buruh paksa. – UTUSAN