The Langkasuka, pelancaran rasmi, majlis pecah tanah dijangka 2Q2022.

Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi

Lakaran artis projek Langkasuka di Langkawi yang akan dibangunkan oleh WBG dan BZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek “The Langkasuka” bernilai RM40 bilion di Langkawi, kini semakin hampir dengan pelancaran rasminya, dengan majlis pecah tanah dijangka pada suku kedua 2022 (2Q2022).

Projek pembangunan bercampur itu, yang akan dibangunkan bersama oleh syarikat pembinaan dan konglomerat pengurusan kemudahan bersepadu Widad Business Group Sdn. Bhd. (WBG) dan Bin Zayed International LLC (BZI), sebuah konglomerat terkemuka dengan pelbagai kepentingan perniagaan dalam pasaran antarabangsa, akan menyaksikan Fasa Pertamanya siap dalam tempoh 4 tahun akan datang.

Dalam kenyataan bersama, WBG dan BZI memberitahu, phak mereka telah memeterai perjanjian usaha sama (JV) pada 7 Mac lalu untuk mengukuhkan lagi perkongsian, selaras dengan Perjanjian Kerjasama yang ditandatangani pada 30 Mac 2021.

Jelasnya, perjanjian itu ditandatangani oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah serta Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd. Rizal Mohd. Jaafar. Sementara itu, bagi pihak BZI, perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusannya, Sheikh Midhat Kidwai.

“WBG akan menguasai 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Widad BZI, manakala BZI yang berpangkalan di Dubai akan memiliki baki 30 peratus kepentingan.

“BZI merupakan konglomerat terkemuka dimiliki oleh Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan, keluarga diraja Abu Dhabi. Minat perniagaannya merentasi pengurusan hartanah, pembinaan kediaman, bangunan komersial dan menara,” katanya.

MUHAMMAD IKMAL OPAT ABDULLAH

Sementara itu, Muhammad Ikmal berkata, seperti yang diumumkan sebelumnya, WBG dan BZI sedang giat berusaha menjayakan projek mega berkenaan.

“Syarikat JV kami, Widad BZI Sdn. Bhd. sedang mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk menyiapkan projek seperti yang dijadualkan. Nilai Pembangunan Kasar (GDV) untuk Fasa Satu Langkasuka dianggarkan berjumlah RM4.5 bilion,” jelas beliau.

Sheikh Midhat pula berkata, ketika dunia sedang menuju ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa, Kumpulan optimis tentang prospek The Langkasuka.

“Malaysia, dan Pulau Langkawi khususnya, sentiasa mendapat sambutan baik dalam kalangan pengembara perniagaan dan percutian antarabangsa. Walau bagaimanapun, kami melihat bahawa terdapat ruang untuk pertumbuhan selanjutnya dan oleh itu, BZI bekerjasama dengan WBG untuk meneroka potensi yang besar.

“Projek Langkasuka hanyalah pelaburan permulaan kami ke Malaysia, kerana kami berusaha untuk memanfaatkan peluang besar di Malaysia dengan memperoleh atau melabur dalam lebih banyak konsesi dan projek infrastruktur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN