PETALING JAYA: Walaupun harga komoditi utama seperti minyak dan emas mengalami penyusutan berikutan perkembangan krisis Rusia-Ukraine, namun harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi sekali gus terus membantu pasaran eksport sawit negara.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kesan sebenar kejatuhan harga komoditi masih jauh contohnya harga sawit yang masih dalam keadaan terkawal.
“Kemusnahan ladang di Ukraine yang membekalkan hampir 90 peratus daripada keperluan minyak matahari mungkin mengekalkan permintaan tinggi kepada minyak sawit negara bagi tahun ini.
“Justeru, harga minyak sawit dijangka kekal tinggi dan mungkin akan mencapai paras tertinggi RM9,000 satu tan metrik pada Mei atau Jun depan seperti yang diramal Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum ini kerana permintaan yang masih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Awal minggu ini, harga emas melepasi paras AS$2,000 seauns sebelum melemah pada AS$1,916.77 iaitu paras terendah dalam dua minggu, manakala harga minyak didagangkan hampir AS$95 setong, jatuh lebih AS$9 kepada paras terendah sejak perang di Ukraine bermula.
Harga komoditi utama itu mula menurun selepas mengalami lonjakan luar biasa sejak krisis Rusia-Ukraine berikutan proses perbincangan gencatan senjata dan penutupan ekonomi di China yang melemahkan permintaan.
Aimi Zulhazmi berpendapat, reaksi pasaran harga komoditi utama yang jatuh adalah berdasarkan perkembangan krisis Rusia-Ukraine, lebih-lebih lagi kedua-dua negara merupakan pengeluar utama kepada komoditi utama dunia antaranya gandum, jagung, minyak bunga matahari, baja urea dan minyak mentah.
“Kenaikan harga-harga komoditi ini kebanyakannya disebabkan oleh aktiviti peniaga yang mengaut keuntungan daripada krisis yang melanda dan bukannya mencerminkan permintaan pasaran dunia yang sebenar, terutamanya dalam situasi pemulihan daripada pandemik Covid-19 setelah dua tahun,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kejatuhan harga komoditi turut memberi kesan positif kerana mampu mengawal kadar inflasi dunia yang amat terkesan.
“Sebagai contoh, inflasi Amerika Syarikat (AS) yang mencatat kadar 7.9 peratus pada Februari, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah.
“Penurunan harga emas yang dianggap sebagai lindung nilai inflasi juga memberikan petunjuk baik bahawa kenaikan kadar inflasi akan dapat dikawal selia dengan lebih berkesan,” ujarnya. – UTUSAN