WASHINGTON: Niaga hadapan minyak melanjutkan kenaikan pada pagi Khamis selepas meningkat mendadak pada awal minggu, apabila pedagang mengambil kira gangguan bekalan tambahan berikutan laporan kerosakan rebut di sistem terminal eksport utama di Laut Hitam.
Niaga hadapan Brent naik kira-kira AS$1.06 (RM4.48) atau 0.9 peratus kepada AS$122.66 (RM518.35) setong dan niaga hadapan West Texas Intermediate Amerika Syarikat (AS) CLc1 naik kira-kira 79 sen atau 0.7 peratus kepada AS$115.68 (RM658.22) setong.
Lapor Reuters, kedua-dua kontrak telah mencatatkan kenaikan mendadak minggu ini, dengan niaga hadapan Brent meningkat lebih daripada AS$14 (RM59.19) setong atau 13 peratus sejak isnin dan WTI meningkat lebih AS$10 (RM42.28) setong atau 10 peratus dalam tempoh itu kerana bimbang terhadap gangguan bekalan yang semakin kerap akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
“Pasaran minyak melonjak lebih 5.0 peratus pada Rabu berikutan laporan bahawa eksport minyak mentah dari terminal Konsortium Saluran Paip Caspian (CPC) Kazakhstan telah dihentikan sepenuhnya berikutan kerosakan akibat ribut.
“Timbalan Perdana Menteri Rusia berkata, bekalan mungkin akan dihentikan selama dua bulan. Saluran paip CPC membawa kira-kira 1.2 juta tong sehari terutamanya minyak mentah Kazakhstan ke sebuah Pelabuhan di pantai Laut Hitam Rusia,” katanya.
Selain itu, turut mendorong peningkatan niaga hadapan ialah penurunan dalam inventori stok AS yang jatuh sebanyak 2.5 juta tong pada minggu lalu.
Manakala, inventori dari Rizab Petroleum Strategik AS merosot sebanyak 4.2 juta tong, menurut data dari Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.
Peserta pasaran menjangkakan peningkatan sederhana dalam bekalan.Pengeluaran minyak AS kekal tidak berubah pada 11.6 juta tong sehari, menurut data EIA.
Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Edward Moya berkata, pasaran minyak sangat ketat dan dengan pengeluaran AS kekal stabil serta apabila simpanan terus menurun, harga minyak hanya akan bergerak ke satu arah sahaja.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden telah bertemu dengan sekutu NATO pada Khamis dan menjangka akan mengumumkan sekatan tambahan ke atas Rusia atas tindakannya di Ukraine yang Moskow panggil sebagai ‘operasi khas’. -AGENSI