MELBOURNE: Harga minyak meningkat lebih tinggi pada Rabu, selepas mengalami kerugian pada sesi sebelumnya, selepas data industri menunjukkan stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh minggu lalu.
Keadaan itu menunjukkan betapa ketatnya bekalan global di tengah-tengah terjejasnya pengeluaran Rusia daripada sekatan ekonomi ke atas Moscow.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$1.06 atau 0.9 peratus kepada AS$116.54 (RM491.92) setong selepas jatuh 14 sen pada sesi sebelumnya.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 87 sen atau 0.8 peratus kepada AS$110.14 (RM464.90) setong, selepas susut 36 sen pada Selasa.
Walaupun harga merosot pada Selasa berikutan Kesatuan Eropah tidak mungkin bersetuju dengan pengharaman minyak Rusia, pasaran masih bimbang mengenai prospek sekatan lanjut ke atas Rusia apabila Presiden AS, Joe Biden bertemu dengan pemimpin Eropah pada Khamis untuk membincangkan pencerobohan Rusia.
Bekalan masih ketat. Data terkini daripada kumpulan industri American Petroleum Institute menunjukkan stok minyak mentah jatuh sebanyak 4.3 juta tong bagi minggu berakhir 18 Mac, menurut sumber pasaran.
Sebanyak sembilan penganalisis yang ditinjau oleh Reuters secara purata menganggarkan inventori minyak mentah meningkat sebanyak 100,000 tong dalam seminggu hingga 18 Mac.
“AS dan Arab Saudi adalah dua negara yang secara bermakna boleh mengimbangi kehilangan minyak Rusia. Bekalan tambahan daripada kedua-duanya nampaknya tidak mungkin sekarang tetapi kita berada dalam situasi yang sangat luar biasa dan itu menjadikan segala-galanya lebih cair,” kata penganalisis Commonwealth Bank dalam satu catatan.
Data inventori rasmi AS akan dikeluarkan daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga pada Rabu. – AGENSI