PEMBUKAAN sempadan negara bermula 1 April ini sangat dinantikan

[FOKUS] Pembukaan sempadan kembalikan limpahan ekonomi di Perlis

PEMBUKAAN sempadan negara bakal membantu merancakkan kembali ekonomi dan sektor pelancongan di Perlis. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUKAAN sempadan negara bermula 1 April ini sangat dinanti-nantikan khususnya dalam mengembalikan limpahan ekonomi di negeri ini serta merancakkan kembali sektor pelancongan
yang mula menjadi tumpuan kebelakangan ini.

Meskipun pintu sempadan hanya dibuka di Wang Kelian terlebih dahulu, namun perkembangan tersebut sudah pastinya turut memberi impak positif ke atas kelestarian ekonomi di Perlis.

Malah, kerajaan negeri juga sudah lebih awal mengatur strategi dan pelan selain pemain-pemain industri pelancongan yang sudah sedia menerima kunjungan pelancong khususnya dari Thailand ke beberapa lokasi tumpuan seperti Padang Besar dan pelbagai lagi.

Malah, kenderaan-kenderaan perdagangan dijangka terus meningkat di laluan keluar masuk Malaysia Thailand itu yang secara tidak langsung merancakkan sektor ekonomi.

Manakala penjaja-penjaja kecil khususnya di lokasi-lokasi pelancongan serta peniaga di arked niaga Padang Besar antara yang bakal menikmati limpahan ekonomi dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Sudah pastinya keperitan hilang sumber pendapatan khususnya para peniaga di arked niaga Padang Besar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan negara sejak dua tahun lalu terubat apabila ekonomi kembali rancak dengan kehadiran pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad berkata, pengumuman pembukaan pintu sempadan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 April ini sangat-sangat dialukan.

Katanya, sektor pelancongan khususnya antara yang bakal menerima manfaat besar pembukaan pintu sempadan dengan kehadiran pelancong dari luar negara selain pelancong domestik yang terus bertambah ke negeri ini.

“Kita jangka peningkatan kehadiran pelancong akan dapat dilihat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Pembukaan sempadan bertembung dengan bulan puasa dan dalam tempoh bulan Ramadan itu, kita sukar untuk membuat jangkaan jumlah kedatangan pelancong itu.

“Apa pun apabila ekonomi kembali rancak ia akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini khususnya para peniaga. Dalam sebulan ini, kita tengok dahulu perkembangannya bagaimana selepas pembukaan pintu sempadan ini,” katanya.

PARA peniaga antara yang bakal merasai nikmat limpahan ekonomi dengan pembukaan pintu sempadan negara bermula 1 April. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Seorang peniaga di arked niaga Padang Besar, Siti Asma Kadir,22, pula berkata, pembukaan sempadan negara akan lebih merancakkan lagi lokasi pelancongan tersebut.

Dalam masa sama, dia juga berharap agar sempadan di Padang Besar segera dibuka memandangkan pintu sempadan tersebut lebih rancak berbanding di Wang Kelian.

Katanya, para peniaga di sini akan kembali merasai nikmat limpahan ekonomi apabila pelancong luar khususnya dari Thailand datang ke negara ini.

“Pintu sempadan Padang Besar merupakan lokasi cukup sibuk dan perlu dipertimbangkan untuk segera dibuka. Dalam keadaan negara akan memasuki fasa endemik, para peniaga sangat berharap keadaan ekonomi kembali baik seperti sebelum pandemik.

“Dalam fasa pandemik dan PKP sebelum ini, para peniaga di Padang Besar sangat terkesan ekoran lokasi pelancongan ini sunyi sepi. Malah ramai juga yang terpaksa gulung tikar.

“Kini, keadaan semakin pulih dan para peniaga di sini sudah bersedia untuk bangkit semula dan pembukaan pintu sempadan negara adalah langkah permulaan ke arah pemulihan ekonomi ini khususnya di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN