LONDON: Kesatuan Eropah (EU) sedang membincangkan untuk mengenakan sekatan ke atas beberapa taikun Rusia, pegawai tertinggi dalam syarikat kerajaan dan media negara itu dalam usaha meningkatkan tekanan berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Menurut dokumen yang dilihat oleh Bloomberg, antara taikun yang disasarkan adalah mereka yang belum termasuk dalam senarai sekatan dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Mereka termasuk taikun logam, Alisher Usmanov; pemilik Kumpulan Alfa, Mikaiul Fridman dan Petr Aven serta pemilik syarikat keluli utama Rusia, Alexei Mordashov.
Turut termasuk dalam senarai ialah jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov serta beberapa tokoh media kerajaan yang didakwa EU terbabit dalam penyebarkan maklumat yang salah.
Pemain atau penggesek selo dan rakan lama Putin, Sergei Roldugin berada dalam senarai yang dicadangkan. Bagaimanapun, senarai mereka yang akan dikenakan masih bergantung kepada kelulusan kerajaan-kerajaan negara Kesatuan Eropah, jelas laporan itu.
EU juga sedang memasukkan eksekutif di syarikat terkemuka negara, serta pegawai tentera dan keselamatan, yang kebanyakannya telah pun disetujui oleh AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Senarai yang dicadangkan termasuk ketua pegawai eksekutif syarikat minyak Rosneft, Igor Sechin dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat minyak Transnef, Nikolay Tokarev,” jelas laporan itu memetik dokumen berkenaan.
Diplomat kanan EU, Josep Borrell memberitahu pemberita kelmarin bahawa: “Kami (EU) telah bersetuju untuk meningkatkan orang dan entiti yang akan tertakluk kepada langkah sekatan, senarai penuh akan dimuktamadkan” dalam mesyuarat duta-duta EU.”
“Ini termasuk oligarki (golongan elit) Rusia dan ahli perniagaan yang penyenaraiannya membawa impak ekonomi yang besar dan tokoh politik yang memegang peranan penting dalam sistem Putin di Rusia,” katanya.
Walaupun AS tidak mengumumkan sebarang tindakan lanjut buat masa ini, namun menurut pegawai White House, pentadbiran Presiden Joe Biden telah menjelaskan bahawa tiada golongan elit Rusia atau ahli keluarga mereka yang selamat daripada dikenakan sekatan.
EU sebelum ini mengumumkan akan menyekat beberapa bank Rusia daripada perkhidmatan sistem pembayaran antarabangsa SWIFT, dan mengenakan sekatan ke atas bank pusat negara itu, langkah yang diselaraskan dengan tindakan AS dan United Kingdom (UK).
Terdahulu, Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen mengumumkan bahawa blok itu akan melarang media disokong kerajaan Rusia iaitu RT dan Sputnik, serta pesawat Rusia dari memasuki ruang udara EU, pada masa sama meningkatkan bantuan ketenteraan ke Ukraine. – AGENSI










