EcoWorld Malaysia rekod jualan RM1.276 bilion bagi suku pertama 2022

EcoWorld Malaysia catat jualan RM1.3 bilion

PENAMATAN HOC tidak menjejaskan jualan EcoWorld yang terus merekodkan prestasi memberangsangkan di dalam negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) merekodkan jualan RM1.276 bilion bagi suku pertama 2022, iaitu 40.1 peratus lebih tinggi berbanding RM911 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 5.1 peratus kepada RM533 juta manakala keuntungan kasar meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama 2021 kepada RM114 juta, yang timbul daripada jualan lebih tinggi dan realisasi penjimatan kos pada fasa telah siap dan hampir siap.

EcoWorld Malaysia bagaimanapun mencatatkan kerugian RM1.6 juta sebagai bahagian hasil daripada EcoWorld International berbanding keuntungan sebanyak RM21.8 juta suku sama tahun lalu, disebabkan kurang unit yang dijual diserahkan kepada pelanggan di United Kingdom dan Australia pada suku semasa.

Keuntungan Selepas Cukai (PAT) EcoWorld Malaysia pada suku semasa adalah RM63.4 juta, tidak termasuk keputusan EcoWorld International. PAT kumpulan daripada operasi Malaysia meningkat sebanyak 60 peratus kepada RM64.9 juta pada suku pertama 2022 berbanding RM40.6 juta pada suku sama 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata, prestasi EcoWorld Malaysia dalam empat bulan pertama 2022 adalah sangat menggalakkan dengan jualan di ketiga-tiga wilayah geografi berkembang kukuh.

Ujarnya, peratusan peningkatan tertinggi dicatatkan daripada projek di Iskandar Malaysia (meningkat sebanyak 194 peratus), diikuti Pulau Pinang (naik 110 peratus).

“Projek Lembah Klang kami juga berjaya mencatatkan pencapaian RM709 juta yang mewakili 56 peratus daripada jumlah jualan kumpulan sehingga 28 Februari 2022.

“Penamatan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 31 Disember 2021 tidak memberi kesan ketara terhadap momentum jualan dan ia kekal kukuh sepanjang Januari hingga Februari lalu,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas perkembangan perindustrian kumpulan, Chang menekankan, jualan di empat Eco Business Park berjumlah RM154 juta sehingga 28 Februari 2022 iaitu 43.9 peratus lebih tinggi daripada RM107 juta yang dicapai dalam tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan sihat dalam jualan projek perindustrian kumpulan di Iskandar Malaysia dan Lembah Klang adalah petanda menggalakkan pemulihan ekonomi yang meluas.

“Di sebalik permulaan yang sangat baik ini, harus diakui masih terdapat cabaran pasaran yang perlu diatasi termasuk inflasi yang disebabkan oleh kenaikan harga bahan dan minyak serta potensi kenaikan kadar faedah.

“EcoWorld Malaysia pastinya tidak terlepas daripada kesan kenaikan kos pembinaan baru-baru ini seperti yang diketengahkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA). Namun, sebagai sebuah kumpulan, kedudukan kami agak baik memandangkan sebahagian besar infrastruktur utama kami telah siap pada tahun sebelumnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN