Bintai Kinden raih kontrak RM57.4 juta dari TNB - Utusan Malaysia

Bintai Kinden raih kontrak RM57.4 juta dari TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) berjaya meraih kontrak substesen tenaga dan transformer tenaga daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM57.4 juta.

Anak syarikatnya iaitu Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK) pada 23 Mac lalu menerima dua surat lantikan daripada TNB untuk menjadi kontraktor bagi kedua-dua kerja itu.

Menerusi kontrak substesen tenaga, KBK akan membekal, mendirikan, menguji dan mentauliah stesen penukaran 275 kilovolt (kV) di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan di Gebeng Pahang dengan nilai RM31.5 juta.

Kontrak kedua bernilai RM25.9 juta akan menyaksikan KBK melaksanakan cadangan sambungan transformer tenaga 132 kV di Elmina West, Shah Alam.

Kontrak substesen itu dijangka siap dalam masa 24 bulan manakala kontrak transformasi tenaga dalam tempoh 18 bulan.

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, kontrak baharu yang diraih itu akan meningkatkan lagi reputasi syarikat dalam industri mekanikal dan kejuruteraan.

“Kami akan terus memanfaatkan kekuatan teras kami untuk meraih lebih banyak kontrak pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua kontrak itu dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 dan tahun kewangan berakhir 2023, selain perolehan masa depan dan aset bersih sesaham Kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

Ia merangkumi kontrak substesen tenaga dan transformasi tenaga itu, Bintai Kinden berjaya meningkatkan jumlah tempahan kontraknya kepada kira-kira RM170.9 juta yang akan menyediakan pendapatan yang jelas dalam tempoh dua tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN