AirAsia X umum penyelesaian terakhir hutang - Utusan Malaysia

AirAsia X umum penyelesaian terakhir hutang

KESAN penuh ke atas penyata pendapatan dan kunci kira-kira Airasia X akan ditunjukkan dalam pengumuman Bursa Malaysia pada suku seterusnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia X (AAX) telah menyerahkan perintah sanksi bagi penstrukturan semula hutangnya kepada Pendaftar Syarikat dengan formaliti penstrukturan semula kini telah selesai.

Cadangan penstrukturan semula hutang itu diluluskan oleh pemiutangnya pada 12 November 2021 dan Mahkamah Tinggi Malaya pada 16 Disember 2021.

Penyerahan perintah sanksi bermakna kesan kewangan boleh diiktiraf dalam penyata kewangan Syarikat dan sebagai hasilnya, AAX dapat membalikkan RM33 bilion liabiliti dan peruntukan untuk liabiliti yang telah diketepikan di bawah skim tersebut. 

Kesan penuh ke atas penyata pendapatan dan kunci kira-kira syarikat akan ditunjukkan dalam pengumuman Bursa Malaysia pada suku seterusnya.

Penyerahan perintah sanksi itu kini akan membuka jalan kepada penyempurnaan cadangan pengumpulan dana.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, ini adalah satu lagi langkah penting dalam membina semula AAX pasca pandemik. 

“Kami kembali terbang dalam kedudukan yang kukuh di mana kami sekali lagi boleh menawarkan tambang nilai terbaik dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan yang layak diterima oleh pelanggan.

“Kargo telah menjadi talian hayat yang kukuh untuk AAX dan pemulihan sedang berjalan sebagai syarikat penerbangan gabungan dengan penekanan yang sama pada pendapatan kargo dan penumpang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap AAX dapat menawarkan lebih nilai bagi perkhidmatan di seluruh rangkaian terasnya seiring dengan permintaan kargo dan pengguna. 

“Dalam dua bulan akan datang kami akan memulakan semula perkhidmatan penumpang ke beberapa lagi destinasi antarabangsa sejajar dengan pembukaan semula sempadan dengan tawaran menarik untuk tetamu dan khususnya kepada pelanggan kami yang mempunyai kredit perjalanan dengan kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN