SHAH ALAM: Agrobank dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam mendepani perkembangan landskap pendidikan mutakhir yang semakin mencabar.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Datuk Yunos Abd. Ghani, kolaborasi yang dijalin adalah untuk membantu mengukuhkan peluang kepada kedua-dua belah pihak dari segi tenaga kerja, latihan, akademik, pertukaran pengetahuan dan kepakaran.
“Agrobank mempunyai peranan dan tanggungjawab penting untuk membina saluran tenaga kerja masa depan bagi industri perbankan dan perkhidmatan kewangan.
“Memandangkan persekitaran yang pesat berubah di mana bank perlu beroperasi dengan keupayaan yang optimum, tenaga kerja yang berkualiti merupakan asas kepada kejayaan ini,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut di Bangunan Canseleri UiTM, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof Ts. Dr. Salmiah Kasolang serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Tambah Yunos, UiTM sebagai pusat pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam membangunkan saluran tenaga kerja kepada industri dan pihaknya percaya inisiatif bersama di bawah MoU tersebut mampu memberi sumbangan berharga ke arah membina ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ts. Dr. Roziah Mohd., Janor dalam ucapannya yang dibacakan oleh Salmiah berkata, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia, UiTM memainkan peranan yang sangat signifikan sebagai platform percambahan ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan keperluan semasa.
Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk UiTM memperkasa hubungan kerjasama dengan industri dari segi reka bentuk dan penyampaian kurikulum, penyelidikan serta pembangunan pendidikan yang berterusan ke arah melahirkan graduan profesional berkualiti yang memenuhi keperluan industri.
“Kerjasama dengan institusi kewangan seperti Agrobank ini mampu memberi sumbangan berharga dan impak positif ke arah membina ekonomi berasaskan pengetahuan yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak termasuk kakitangan, pelajar, masyarakat dan komuniti setempat.
“Pada masa sama, kerjasama UiTM-Agrobank dapat melebar luas peluang pengembangan ilmu, peningkatan taraf akademik, semakan kurikulum, pembangunan bakat, kerjaya dan latihan melalui pusat pengajian, fakulti dan fasiliti yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak,” katanya.