PETALING JAYA: YTL Power International Bhd. melupuskan keseluruhan 33.5 peratus kepentingannya dalam ElectraNet Pty Ltd Australia pada harga A$1.03 bilion (RM3.07 bilion).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, penjualan kepentingan oleh anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, YTL Power Investments Ltd (YTLPIL) kepada Australian Utilities Pty Ltd juga termasuk 3,300 nota pinjaman pemegang saham, 2,550 nota pinjaman pilihan dan 26.28 juta nota pinjaman pemegang saham subsidiari dikeluarkan kepada YTLPIL.
“Pertimbangan penjualan akan dibayar secara tunai dan mewakili premium A$767.84 juta (RM2.29 bilion) kepada nilai dibawa pelaburan dalam ElectraNet sebanyak A$258.16 juta (RM770.76 juta), berdasarkan akaun teraudit YTL Power bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021,” kata Kumpulan itu dalam makluman berkenaan.
Tambahnya, selepas pelupusan selesai, Kumpulan itu mendapat keuntungan sebanyak RM2.21 bilion, berdasarkan nilai pelaburan pada 30 Jun 2021.
ElectraNet mengendalikan sistem penghantaran elektrik voltan tinggi di seluruh Australia Selatan di bawah pajakan eksklusif 200 tahun yang diberikan oleh kerajaan negeri itu.
YTL Power pada Disembner 2000, memperoleh 33.5 peratus kepentingan pada harga A$58.5 juta (RM122.9 juta) berdasarkan kadar pertukaran ketika itu.
Ia merupakan penerokaan pertamanya di luar pesisir, berdasarkan pengalaman sebagai pengeluar tenaga bebas pertama Malaysia dengan dua stesen janakuasa di Paka, Terengganu, dan Pasir Gudang, Johor.
“Cadangan pelupusan itu mewakili peluang untuk merealisasikan keuntungan daripada pelaburan matang, mengoptimumkan lagi baki aset dalam portfolio perniagaannya, dan meningkatkan fleksibiliti kumpulan untuk menggunakan rizab tunainya ke arah perniagaan baharu yang berdaya maju, melengkapkan aset sedia ada,” katanya.
Tambahnya, pelupusan itu akan menyumbang secara positif kepada nilai Kumpulan, kecuali wujud keadaan yang tidak diduga.
YTL Power bercadang untuk menggunakan hasil yang diperoleh daripada jualan itu untuk pelaburan masa hadapan yang akan dikenal pasti, serta untuk tujuan am korporat.
“Pelupusan itu dijangka selesai pada akhir suku kedua 2022,” katanya. – UTUSAN










