PETALING JAYA: FGV Holdings Bhd. merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding hanya RM146.16 juta pada 2020, dipacu oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.
Pendapatan juga melonjak sebanyak 39 peratus kepada RM19.58 bilion daripada RM14.08 bilion sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, keuntungan operasi FGV meningkat kepada RM1.79 bilion pada 2021 berbanding RM603 juta tahun sebelumnya, didorong prestasi lebih baik daripada sektor gula dan logistik, selain MSM yang tinggi.
“Purata harga MSM yang direalisasikan pada tahun kewangan 2021 meningkat sebanyak 37 peratus kepada RM3,671 satu tan berbanding RM2,675 pada tahun kewangan 2020,” katanya dalam pengumuman prestasi FGV secara maya.
Bagi suku keempat 2021, FGV mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM424 juta berbanding RM183 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Pendapatan FGV pula meningkat 54 peratus tahun ke tahun kepada RM6.18 bilion, manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM633 juta berbanding RM222 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Lembaga pengarah telah bersetuju untuk mengisytiharkan pembayaran dividen akhir sebanyak 8.0 sen sesaham yang dianggarkan berjumlah RM291.85 juta.
Mohd. Nazrul memaklumkan, sektor perladangan kumpulan dijangka mengekalkan prestasinya sejajar dengan harga MSM yang tinggi, yang kini didagangkan melebihi RM5,000 satu tan.
“Walaupun isu ketidaktentuan mengenai bekalan buruh masih berterusan, kami menjangkakan situasi berkenaan akan pulih menjelang suku ketiga tahun ini. Sementara itu, sektor perladangan kami akan terus menumpukan usaha pada penuaian, pemulihan tanaman dan penanaman semula untuk memastikan keuntungan kumpulan dalam jangka masa panjang.
“Seiring dengan ini, sektor gula kami akan mengoptimumkan kehadiran tempatannya melalui strategi jualan yang agresif, penembusan eksport serantau dan aktiviti perniagaan nilai tambah untuk meningkatkan jumlah jualan sementara kami akan terus meneroka peluang untuk pengembangan dan kepelbagaian pasaran sektor logistik sambil meningkatkan keberkesanan operasi,” ujarnya. – UTUSAN










