Trizure perkenal program `pajak gadai kasih sayang' patuh syariah - Utusan Malaysia

Trizure perkenal program `pajak gadai kasih sayang’ patuh syariah

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Syarikat multimedia, Trizure International (M) Sdn. Bhd. memperluaskan perkhidmatannya apabila memperkenalkan program `pajak gadai kasih sayang’ berkonsep patuh syariah.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, buat permulaan, perkhidmatan itu dibuka membabitkan komuniti usahawan di bawah program mentor-mentee, kongsi rezeki (Sharezeqi) yang dilaksanakan syarikat tersebut.

Beliau berkata, usahawan Trizure yang mendapat peluang kemudahan pajak gadai tersebut adalah daripada pelbagai kaum dan latar belakang, merangkumi konsep Keluarga Malaysia.

“Tidak seperti kedai-kedai pajak gadai yang lain, semua urus niaganya akan berkonsepkan kasih sayang. Pajak gadai Trizure berpegang kepada konsep `rahn’ iaitu perjanjian menahan suatu barang sebagai tanggungan hutang.

“Bagi konsep `rahn’ ini, kita tidak mengenakan caj kepada duit yang dipinjamkan. Tiada bayaran faedah atau riba. Bagaimanapun, bayaran dikenakan atas khidmat menjaga dan menyimpan barang yang dicagarkan.

“Semua ini selaras dengan konsep kewangan Islam yang mana riba tidak dibenarkan tetapi bayaran boleh dikenakan bagi khidmat yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, konsep Trizure dalam urus niaga pajak gadainya akan turut menyantuni usahawan dalam proses pengurusan wang pinjaman sehingga pada kaedah bayaran semula .

“Semoga misi Trizure dalam amal dan kemanusiaan ini akan berkekalan dan dapat meringankan bebanan masyarakat terutama ketika situasi Covid-19 yang tidak tahu bila ia akan berakhir.

“Demi sesuap nasi, inilah keutamaan Trizure dalam kerangka membangunkan ilmu , amal, ikhlas kepada masyarakat di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN