
MUKADIMAH
SYARIKAT pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) optimis 2022 bakal membuka laluan lebih luas buat Kumpulan dalam memacu pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
Pendapatan syarikat dijangka meningkat kepada RM1.7 bilion pada tahun ini berbanding RM1.2 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya.
Sasaran itu selaras dengan misi kumpulan ke arah mengembangkan lagi perniagaan dalam suasana Covid-19 terutama menerusi dua bidang utama iaitu perladangan di samping minyak dan gas (O&G).
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., BURHANUDDIN HILMI MOHAMED mengupas perancangan strategik yang dirangka kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dalam temu bual di Kuala Terengganu
baru-baru ini
UTUSAN: Boleh kongsikan sasaran pendapatan Kumpulan pada 2022.
BURHANUDDIN HILMI: Kita menyasarkan pendapatan kirakira RM1.7 bilion dengan peningkatan sebanyak RM500 juta atau 45 peratus berbanding tahun lalu.
Daripada jumlah pendapatan itu, hampir RM1 bilion bakal disumbangkan bidang perladangan diikuti O&G (RM336 juta).
Jumlah pelaburan tahun ini dan fokus utama?
PERLADANGAN
Tahun ini, buat pertama kalinya kita mengusahakan tanaman alternatif seperti kelapa dan durian selaras untuk mempelbagaikan produk di bidang perladangan kelapa sawit. Projek perintis sudah bermula tahun lalu iaitu cili dan nanas.
Sebanyak RM43 juta diperuntukkan bagi penanaman kelapa di kawasan seluas 404 hektar di Setiu. Ketika ini kita sudah mengenal pasti tapak berkeluasan 360 hektar bagi tanaman durian dan giat berbincang dengan beberapa pihak serta pemilik tanah.
Selain tanaman alternatif, kita turut melabur RM25 juta bagi penghasilan baja organik, biohumus di samping biogas menerusi bahan sisa kelapa sawit. Inisiatif baharu ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan Kumpulan.
O&G
Untuk bidang O&G pula, kita bekerjasama dengan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia bagi membangunkan Taman Biopolimer Kertih (KBP) bernilai RM605 juta dengan majlis pelancarannya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 6 Mac ini.
TENAGA DAN SUMBER ASLI
Satu lagi pelaburan yang dibuat ialah projek penanaman hutan semula secara berperingkat selama 10 tahun oleh anak syarikat kita, Golden Pharos Berhad (GPB) dengan kos RM280 juta.
PULAU POH, TASIK KENYIR
Projek paling besar Terengganu Inc. tentunya bidang pelancongan di Pulau Poh, Tasik Kenyir. Selain penginapan 150 bilik di hotel lapan tingkat di situ, antara tarikan lain ialah taman tema air, kawasan jeti yang akan dijadikan sebagai pusat beli-belah dan jambatan ikonik.
Kita menjangkakan pusat beli belah bebas cukai yang menawarkan pelbagai barangan termasuk coklat, pinggan mangkuk dan lain-lain produk itu di samping taman tema air akan beroperasi Jun depan. Ketika ini ramai operator menunjukkan minat untuk mengendalikan kompleks beli-belah itu.

Strategi yang dirangka untuk mencapai sasaran itu?
Berdasarkan pelan perniagaan strategik, kita sentiasa menilai prestasi anak-anak syarikat hampir empat kali dalam setahun. Menerusi kaedah itu, pemantauan rapi dapat dibuat bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dicapai.
Hingga kini, hanya ada satu sahaja anak syarikat di bawah Kumpulan yang terkebelakang, bagaimanapun, hasil pemulihan yang dijalankan bakal membolehkan syarikat berkenaan meraih keuntungan, tahun ini.
Pelaburan baharu tahun ini atau di masa akan datang?
Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman diharap dapat dimulakan tahun ini dengan pembinaan kontena bernilai RM30 juta manakala kos pembesaran dermaga dijangka mencecah sehingga RM400 juta.
Di samping itu, kita juga akan mengambil alih Lapangan Terbang Kertih pada tahun depan dan mempunyai tempoh setahun untuk menghasilkan pelan perniagaan. Bagaimanapun, saya sudah berjumpa dengan beberapa syarikat pengendali perkhidmatan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di samping akademi penerbangan.
Jumlah anak syarikat di bawah Terengganu Inc.?
Sebanyak 80 anak syarikat pelbagai saiz yang aktif namun yang signifikan kepada Kumpulan ialah 35 syarikat.
Bagaimana dengan prestasi hotel-hotel di bawah Kumpulan?
Keuntungan bidang perhotelan tahun lalu ialah RM500,000 dengan Hotel Primula dan Permai masing-masing meraih RM250,000. Walaupun nilai itu nampak kecil tetapi dalam keadaan semasa yang serba mencabar, pada kita jumlah itu amat besar.
Hotel Permai misalnya berdepan kerugian dalam tempoh lama dengan kali terakhir untung ialah pada 2012, dan begitu juga Hotel Primula. Di sebalik penutupan hampir tiga bulan pada 2021 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping isu kontroversi yang viral dan perbelanjaan tinggi, namun kedua-duanya masih mampu mencatatkan keuntungan.
Bagaimana pula sasaran pendapatan hotel di Pulau Poh?
Hotel tiga bintang itu dijangka beroperasi September depan dan pendapatan yang bakal diraih untuk tahun pertama ini dianggarkan antara RM5 juta hingga RM6 juta. Buat masa ini kita masih dalam proses memilih operator yang berminat.
Apakah perancangan Kumpulan untuk menambah tenaga kerja?
Sepanjang PKP, kita tidak membuat sebarang pemberhentian pekerja. Kumpulan berhasrat menambah 30 peratus lagi kakitangan di pelbagai sektor terutama perladangan dan kesihatan, dalam tempoh tiga tahun ini.
Ketika ini, jumlah keseluruhan staf Terengganu Inc. adalah seramai 6,200 orang dan akan ditingkatkan sehingga 8,000 orang.
Boleh kongsikan program CSR yang dijalankan oleh Kumpulan?
Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahun ini. Terengganu Inc. komited membantu kerajaan negeri dan berusaha merangka pelbagai inisiatif untuk memastikan bantuan sampai kepada seluruh rakyat.
Antara yang dilakukan tahun lalu ialah pemberian tablet kepada murid dan pelajar sekolah di samping bank makanan. – UTUSAN










