PETALING JAYA: Supermax Corporation Berhad (Supermax) telah memperluaskan skop pembayaran pemulihan di bawah Dasar Pengurusan Pekerja Asing kendaliannya yang dilaksanakan sejak November 2021.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, langkah tersebut dipertingkat dengan turut merangkumi bekas pekerja lantikan langsung dan pekerja yang telah meninggalkan syarikat itu sebelum 1 Oktober 2019.
“Inisiatif baharu dan kriteria kelayakan yang disemak semula bagi tujuan pemulihan itu telah dipersetujui setelah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada firma perunding antarabangsa serta penglibatan dan dialog berterusan dengan Pakar Hak Pekerja Asing, Andy Hall.
“Supermax juga telah melantik satu firma perunding antarabangsa untuk terus menilai dan memberi nasihat pembayaran kepada semua pekerja semasa dan bekas pekerja selain mengesan pekerja yang telah kembali ke negara asal mereka. Supermax komited untuk memastikan semua bekas pekerja menerima bayaran pemulihan mereka termasuk yang dalam skop diperluas tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, dalam usaha untuk memastikan semua bekas pekerja menerima bayaran pemulihan mereka, notis-notis berkaitan akan disiarkan dalam akhbar di negara-negara asal mereka dan jangkauan aktiviti akan dijalankan dengan tempoh enam bulan bermula Februari 2022 sehingga Julai 2022 agar seramai mungkin pekerja terbabit dapat dihubungi.
Jelasnya, syarikat juga akan menubuhkan dana terikat untuk memastikan ia memulihkan semua bekas pekerja dan semua pekerja yang layak mengikut kriteria kelayakan yang disemak semula itu.
Syarikat itu turut melaksanakan bayaran ex-gratia atau sagu hati sekali sebanyak RM5,000 kepada semua pekerja dan akan menambah elemen faedah dalam bayaran yuran dan kos berkaitan pengambilan kerja sebelum ini yang ditanggung oleh pekerja.
“Selain itu, syarikat juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa semua pembayaran kepada pekerja aktif sedia ada telah diselesaikan pada 7 Februari 2022. Bekas pekerja akan turut menerima bayaran sama mulai Februari 2022 hingga Julai 2022,” katanya.
Bagi tempoh setakat ini, Supermax telah membuat pembayaran pemulihan berjumlah RM25.67 juta yang meliputi yuran pengambilan kerja lampau, ex-gratia dan kos berkaitan lain kepada pekerjanya. – UTUSAN










