TOKYO: Jepun akan mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas syarikat dalam sektor keselamatan yang memperoleh perisian luar negara.
Langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan langkah bagi menentang serangan siber, menurut cadangan oleh panel yang dikeluarkan kelmarin.
Langkah itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Perdana Menteri, Fumio Kishida untuk mempertahankan keselamatan ekonomi Jepun terutamanya daripada China, dengan menghalang kebocoran teknologi sensitif dan membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
Dalam cadangan itu, panel terbabit menggesa kerajaan untuk merangka undang-undang yang membolehkan kerajaan memerintahkan syarikat menyediakan maklumat awal apabila mengemas kini perisian atau mendapatkan peralatan baharu dan pembelian produk ternakan yang boleh meletakkan Jepun berisiko terhadap serangan siber.
Peraturan itu akan menyasarkan syarikat dalam industri yang kritikal kepada keselamatan negara seperti tenaga, bekalan air, teknologi maklumat, kewangan dan pengangkutan, menurut cadangan itu.
“Disebabkan pendigitalan pesat di dunia hari ini, hampir semua bidang aktiviti ekonomi termasuk yang melibatkan infrastruktur kritikal menjadi sasaran serangan siber.
“Adalah penting untuk memastikan sebarang peraturan tidak menyekat aktiviti perniagaan secara berlebihan,” kata panel itu, dalam menjelaskan keperluan untuk perundangan baharu berkenaan.
Cadangan panel ahli akademik itu akan menjadi platform bagi perundangan yang akan dikemukakan oleh kerajaan kepada parlimen akhir bulan ini.
Negara ekonomi maju, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, telah menghadapi beberapa serangan siber besar baru-baru ini termasuk mereka yang mempunyai hubungan dengan Rusia dan China.
Jepun berada di bawah tekanan untuk mengikut jejak langkah AS dalam meningkatkan tindakan balas terhadap serangan siber dan bersaing dengan Beijing yang semakin meningkat untuk mengeksport teknologi sensitif seperti dron komersial dan kamera keselamatan. – AGENSI










