
Perbualan pertama: “Berapa lama da… Dekat paper (akhbar) kata dah dapat.”
Perbualan kedua: “Semua naik..”
Itu perbualan dua pengunjung pasar pagi Jumaat di Meru, Klang yang sempat didengar oleh penulis.
Setiap pagi Jumaat, pasar berkenaan dipenuhi oleh penduduk setempat dan dari kawasan berhampiran serta pekerja asing untuk mendapatkan pelbagai barangan harian seperti ikan, sayuran, daging, ayam, pakaian dan makanan.
Berdasarkan pengamatan, perbualan pertama pastinya merujuk kepada bantuan banjir yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor kepada mangsa-mangsa banjir Disember lalu untuk meringankan beban mereka.
Namun, rungutan pengunjung terbabit bukanlah mengejutkan kerana sebelum ini, ada jiran penulis memberitahu perkara sama. Padahal penduduk Meru antara yang terjejas dalam musibah berkenaan yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM6.1 bilion di seluruh negara, menurut Jabatan Perangkaan.
Selangor merupakan negeri paling terjejas dalam bencana terbabit. Bagaimana ada penduduk yang belum dapat bantuan dijanjikan. Hanya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang ada jawapan. Yang pasti, rakyat menanti bantuan dijanji ditunaikan.
Perbualan kedua pula lebih menarik penulis yang turut membeli barangan keperluan di pasar pagi itu. Benarlah apa yang dirungutkan mereka. Memang semua nak. Naik harga!.
Bermula dari makanan seperti cakoi naik 10 sen seketul, roti bom juga naik 10 sen sekeping. Kenaikan kecil bagi sesetengah pihak, namun kesannya tetap besar bagi pembeli terutama yang berkeluarga besar.
Kenaikan lebih dirasakan apabila membeli ikan. Ikan kembung dijual RM24 sekilogram, sardin (RM15), selar kuning saiz sederhana (RM16) dan tuna (adik beradik ikan tongkol) (RM16). Ikan-ikan ini selalunya dianggap untuk golongan marhaen, dimakan dan untuk berniaga seperti laksa dan lain-lain. Ikan tenggiri pula RM38 sekilogram, pari (RM34) dan ketam (RM40).
Penulis sempat bertanyakan ayam, yang dijual RM9.50 sekilogram kerana harga siling hanya berkuat kuasa bermula 5 Februari.
Harga daging pula lebih mengejutkan. Daging batang pinang dijual pada harga RM48 sekilogram dan daging pejal RM45 sekilogram.
Agak-agak harganya boleh mencecah berapa RM menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti dan sebelum kerajaan bertindak memperkenalkan skim harga kawalan (jika ada)?

Selalunya kerajaan dilihat lambat bertindak dalam bab ini. Buktinya, selepas banyak rungutan, aduan, harga melambung tinggi baharulah harga kawalan ayam dibuat. Itupun turun 20 sen sahaja dan masih tinggi bagi sekelompok rakyat.
Janganlah pula ada pemimpin menyarankan agar rakyat menukar menu dek kerana harga barangan naik.
Apa yang kerajaan perlu lakukan? Kawalan harga hanya bersifat sementara dan bermusim terutama menjelang hari-hari perayaan. Mengimport makanan pula, bukan penyelesaian jangka panjang dan terbaik untuk negara. Ia akan hanya menambah bebankan kewangan kerajaan, terutama ketika nilai ringgit lebih rendah berbanding dolar. Kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu lalu ialah RM4.1825/4.1835.
Pada pendapat penulis, solusi jangka panjang ialah kerajaan perlu memperkasa sektor pertanian negara. Ini kerana, makanan adalah kehidupan. Makanan adalah keselamatan. Krisis makanan boleh mengundang bencana.
Belajarlah daripada Covid-19 yang mengakibatkan sempadan tidak dibuka dan sektor-sektor perniagaan terjejas. Yang dibenarkan beroperasi, hanya sektor utama dan perlu iaitu kesihatan dan berkaitan makanan.
Kini, sempadan dibuka dan dunia pula mula bergolak dengan krisis di Eropah Timur dan Asia Barat. Krisis akan menyebabkan perdagangan antara negara boleh tergugat. Jangkitan pandemik juga kembali meningkat. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan tiada siapa boleh meramalkan.
Malaysia mengimport produk makanan berjumlah RM55.5 bilion pada 2020 dan berjumlah RM482.8 bilion dalam tempoh 10 tahun berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion dan RM296 bilion. Jumlah itu akan terus meningkat dan defisit bakal melebar.

Bagaimana jika barangan makanan yang diperlukan Malaysia tidak ada negara yang mahu membekalkan? Di mana kita hendak mendapatkannya? Sedangkan lebih 32 juta perut perlu diisi.
Sebab itu, sektor pertanian khususnya berkaitan makanan (bukan komoditi) perlu diperkasa. Komoditi, Malaysia sudah berjaya menjadi antara negara pengeksport utama. Namun, makanan untuk rakyat terbanyak masih banyak yang kurang. Serba serbi hendak diimport.
Benar boleh import selagi kita ada duit dan ada negara hendak membekalkannya. Namun, bukankah lebih bijak jika kita boleh hasilkan sendiri untuk kendiri masa hadapan.
Sementelah, kenaikan harga barang meningkatkan kos hidup rakyat dan mereka terjejas akan mencari kerajaan untuk bantuan. Demi survival politik, kerajaan akan hulurkan pelbagai bantuan, namun impaknya tidak dirasakan. Kenapa, sebab bantuan tidak mampu menampung kenaikan-kenaikan yang berlaku.
Akhirnya, rakyat tetap menyalahkan kerajaan. Jadi, bertindaklah selagi peluang masih ada dan keadaan belum menjadi lebih parah. – UTUSAN










