Saham Meta menjunam kerana perubahan privasi Apple - Utusan Malaysia

Saham Meta menjunam kerana perubahan privasi Apple

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Saham pemilik Facebook, Meta Platforms Inc. menjunam lebih 20 peratus apabila syarikat media sosial itu mengumumkan prestasi yang lebih lemah berbanding jangkaan, selain menyalahkan perubahan privasi Apple dan peningkatan persaingan untuk pengguna daripada pesaing seperti TikTok.

Meta berkata, pihaknya menghadapi kesan daripada perubahan privasi Apple Inc pada sistem pengendaliannya, yang telah menyukarkan jenama untuk menyasar dan mengukur tahap keberkesanan iklan mereka di Facebook dan Instagram. Ia juga memetik isu makroekonomi seperti gangguan rantaian bekalan.

Gergasi teknologi berusia 18 tahun yang turut menghadapi tekanan daripada platform seperti TikTok dan YouTube itu turut menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang perlahan pada suku akan datang disebabkan peningkatan persaingan untuk masa pengguna dan peralihan penglibatan ke arah ciri seperti video pendeknya, Reels yang kurang berhasil.

Facebook melaporkan sebanyak 2.91 bilion pengguna aktif bulanan pada suku keempat, tidak menunjukkan pertumbuhan berbanding suku sebelumnya.

Kemerosotan dalam saham Meta melesapkan nilai pasarannya bernilai AS$200 bilion (RM836.4 bilion), dengan nilai AS$15 bilion (RM62.73 bilion) lagi hilang daripada Twitter Inc, Snap Inc dan Pinterest Inc.

Saham Alphabet Inc, yang mencatatkan rekod jualan suku tahunan yang mengatasi jangkaan pada Selasa, turun hampir 2.0 peratus.

Meta, yang mempunyai platform iklan digital kedua terbesar di dunia selepas Google, sebelum ini telah memberi amaran perniagaan pengiklanannya menghadapi “ketidakpastian yang ketara” pada suku keempat.

Perubahan Apple kepada perisian pengendaliannya memberi pengguna pilihan untuk menghalang aplikasi daripada menjejaki aktiviti dalam talian mereka untuk iklan, menjadikannya lebih sukar bagi pengiklan yang bergantung pada data untuk membangunkan produk baharu dan mengetahui pasaran mereka.

Meta meramalkan hasil suku pertama dalam lingkungan AS$27 bilion (RM112.91 bilion) hingga AS$29 bilion (RM121.28 bilion), lebih rendah berbanding unjuran oleh penganalisis iaitu AS$30.15 bilion (RM126.09 bilion), menurut data IBES daripada Refinitiv.

“Jelas bahawa terdapat banyak halangan besar pada masa akan datang kerana Meta menghadapi persaingan baharu yang sukar untuk hasil iklan seperti TikTok, dan kerana ia berdepan dengan cabaran penyasaran dan pengukuran iklan yang berterusan daripada perubahan iOS Apple,” kata penganalisis Insider Intelligence Debra Aho Williamson.

Jumlah pendapatan syarikat, sebahagian besarnya datang daripada jualan iklan, meningkat kepada AS$33.67 bilion (RM140.81 bilion) pada suku keempat daripada AS$28.07 bilion (RM117.39 bilion) setahun sebelumnya, mengatasi anggaran penganalisis sebanyak AS$33.40 bilion (RM139.68 bilion) , menurut data IBES daripada Refinitiv.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg berkata pihaknya mencapai kemajuan daripada beberapa bidang pertumbuhan penting seperti Reels, perdagangan realiti dan maya, tahun lalu.

“Kami akan terus melabur dalam bidang sama dan keutamaan utama lain pada 2022 sambil kami berusaha ke arah membina metaverse,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN