RHB Research kekalkan pendirian 'overweight' ke atas industri perbankan - Utusan Malaysia

RHB Research kekalkan pendirian ‘overweight’ ke atas industri perbankan

Dalam memacu agenda kelestarian, antara cabaran utama yang dikenal pasti dalam Laporan Landskap Kewangan Mampan di Malaysia ialah kualiti dan ketersediaan data yang lemah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Investment Bank Bhd (RHB Research) mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap industri perbankan berikutan data sistem perbankan pada Disember terus menunjukkan trajektori pemulihan dengan pertumbuhan pinjaman sistem pada 4.5 peratus, mendahului unjuran 3.8 peratus tahun lalu.

Penganalisis RHB Research, Eddy Do Wey Qing dan Fiona Leong berkata, prospek yang lebih baik dilihat bagi sektor itu pada pertumbuhan pinjaman sistem yang lebih tinggi tahun ini, disokong oleh pemulihan menyeluruh yang berterusan dan potensi kenaikan kadar.

“Kami melihat risiko positif kepada unjuran kenaikan 5.2 peratus pada sistem pinjaman tahun ini memandangkan pemulihan menyeluruh dalam permintaan pinjaman.

“Prospek dasar monetari yang lebih ketat sepatutnya membawa peningkatan kepada pendapatan bank,” katanya dalam nota kajian, semalam.

Pinjaman sistem meningkat sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun dan 0.5 peratus bulan ke bulan pada Disember 2021, menunjukkan trajektori pemulihan.

Mereka memberitahu, pertumbuhan pinjaman itu berlandaskan peningkatan dalam pinjaman kereta (+1.1 peratus) dan gadai janji (+0.8 peratus), dengan kedua-duanya meningkat dalam kadar berbanding November 2021.

“Ia diimbangi kelemahan dalam pinjaman yang digunakan untuk pembelian sekuriti (-1.2 peratus).

“Pertumbuhan pinjaman terus didorong oleh gadai janji (+6.8 peratus) dan pinjaman untuk tujuan modal kerja (+7.1 peratus), menyumbang 4.0 peratus daripada pertumbuhan 4.5 peratus tahun ke tahun,” kata mereka.

Sementara itu, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat pertumbuhan 1.0 peratus bulan ke bulan pada November, meningkatkan pertumbuhan tahunan kumulatif 11 bulan dalam 2021 kepada 4.2 peratus.

Peningkatan bulan ke bulan diterajui oleh pinjaman yang berkaitan dengan pembelian sekuriti, pinjaman modal kerja dan pembelian hartanah bertanah.

Penganalisis RHB Research berpendapat, pertumbuhan pembiayaan PKS berkemungkinan kembali normal pada Disember manakala pemulihan meluas harus terus kukuh.

Bagi sektor ini, pilihan utama bank Malaysia ialah CIMB Group Holdings Bhd. dengan harga sasaran (TP) RM6.30, Malayan Banking Bhd. (Maybank) (TP: RM10.60) dan AMMB Holdings Bhd. (AmBank) (TP: RM3.90). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN