Alasan pekerja tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor 3D lapuk.

Rakyat memilih kerja alasan lapuk

KEBANJIRAN pekerja asing di dalam negara dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai implikasi terutama dalam sosio-ekonomi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alasan pekerja tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan susah) punca kebergantungan terhadap pekerja asing dalam industri adalah alasan lapuk, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Pemangku Presidennya, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, sebaliknya, kurangnya penglibatan pekerja tempatan dalam pelbagai sektor seperti perladangan dan pembinaan berkaitan dengan gaji yang tidak setimpal dengan bebanan kerja.

Menurut beliau, segelintir pihak industri lebih memilih untuk menggaji pekerja asing yang lebih murah berbanding menggaji pekerja tempatan.

“MTUC tidak bersetuju jika dikatakan pekerja tempatan memilih kerja dan tidak mahu bekerja di sektor 3D. Sekiranya gaji yang ditawarkan tidak kompetitif, memang tidak akan menarik minat pekerja tempatan.

“Disebabkan itu, MTUC lantang menyuarakan keperluan menaikkan gaji minimum. Jika pekerjaan itu di bawah 3D, gaji yang ditawarkan perlu setimpal kerana pekerjaan mereka berisiko tinggi.

“Kalau rakyat negara ini ditawarkan gaji tinggi untuk bekerja di ladang atau tapak pembinaan, sudah tentu ramai yang mahu bekerja. Isunya di sini adalah gaji,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, majikan terus  berdepan kesukaran mendapatkan sumber tenaga kerja dalam kalangan warga tempatan bagi mengisi kekurangan dalam kategori pekerja am tidak mahir kerana penduduk tempatan tidak berminat dengan pekerjaan dan industri tertentu terutamanya dalam sektor 3D.

Hal ini diburukkan lagi dengan kekurangan sumber pekerja asing di negara ini sejak penularan Covid-19 seterusnya menjejaskan produktiviti pelbagai industri tempatan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, untuk menggantikan tenaga kerja buruh asing bukanlah perkara mudah dan boleh dilakukan serta merta kerana ia memerlukan kekuatan politik dan pelaksanaan yang efektif tanpa pilih kasih.

Jelasnya, pelan itu juga perlu berfasa dan harus melibatkan pemain-pemain industri secara langsung selain daripada agensi kerajaan sebagai pengelola bagi setiap segmen.

“Ini kerana, setiap industri adalah unik dan mempunyai faktor serta ekosistem tersendiri. Misalnya, faktor menarik pekerja tempatan seperti menawarkan gaji lebih tinggi dan penempatan, juga menggunakan aplikasi teknologi moden secara lebih meluas dan kos efektif,” ujarnya.

Ditanya mengenai kesan kepada aliran keluar asing sekiranya negara masih bergantung kepada pekerja asing, Aimi Zulhazmi menegaskan, perkara itu tidak dapat dielakkan malah akan lebih meningkat sekiranya cadangan peningkatan gaji minimum dikuatkuasakan.

“Justeru, kebergantungan kepada pekerja asing tidak boleh dibiarkan dan keberanian politik secara jangka panjang amatlah diperlukan bagi mengubah situasi ini.

“Kerajaan harus berani bertindak disertai dengan sokongan dan komitmen semua pemain industri untuk menjayakan tindakan jangka panjang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×