PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PGB) menutup tahun kewangan 2021 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.11 bilion, disokong oleh aliran hasil yang mampan dan kos lebih rendah.
PGB berkata, ia merupakan tahun kedua Kumpulan merekodkan PAT melebihi RM2 bilion, selepas 2020 sebanyak RM2.08 bilion.
Bagi tahun kewangan 2021, katanya, hasil Kumpulan berjumlah RM5.65 bilion, lebih tinggi daripada RM5.59 bilion yang dilaporkan pada 2020, terutamanya disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen Utiliti dan pengegasan semula.
“Perniagaan utiliti merekodkan volum jualan lebih tinggi kepada pelanggan baharu yang dijamin manakala pengegasan semula mencatatkan aliran hasil baharu daripada pengisian semula gas asli cecair (LNG) di Terminal Sungai Udang dan LNG di Pengerang.
“Keuntungan kasar bagi tahun dilaporkan meningkat sebanyak 2 peratus mencecah RM2.72 bilion daripada RM2.66 bilion berikutan kos operasi yang lebih rendah dan margin yang lebih baik daripada kedua-dua segmen iaitu utiliti dan pengegasan semula,” katanya dalam kenyataan.
Menurut PGB, PAT bertambah baik sebanyak 1 peratus pada keuntungan kasar yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh kesan pertukaran asing yang tidak menggalakkan.
Berdasarkan keputusan suku tahunan, hasil PGB suku keempat 2021 (S4 2021) meningkat 8 peratus kepada RM1.50 bilion daripada RM1.39 bilion pada S4 2020, sebahagian besar disebabkan oleh utiliti yang mencatatkan harga lebih tinggi sejajar dengan harga gas bahan api dan volum jualan elektrik yang lebih tinggi.
Keuntungan kasar Kumpulan pada S4 2021 pula katanya, lebih rendah sebanyak 3 peratus kepada RM615 juta berbanding RM636 juta dalam tempoh yang sama pada 2020 disebabkan kos operasi yang lebih tinggi daripada segmen pengangkutan gas dan utiliti.
“Ia telah diimbangi dengan kos operasi yang lebih rendah pada segmen pengegasan semula, terutamanya perbelanjaan utiliti. PAT juga menurun sebanyak 6 peratus kepada RM489 juta,” jelasnya.
Mengulas prestasi itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman berkata, prestasi kewangan Kumpulan yang paling kukuh setakat ini menunjukkan daya tahan PGB dalam mengekalkan kecemerlangan operasi di tengah-tengah wabak COVID-19, ketidaktentuan pasaran dan bencana alam.
“Melangkah ke hadapan pada 2022, kami menyasarkan untuk terus beroperasi dengan cekap sambil merealisasikan peluang pertumbuhan kami yang dikenal pasti,” katanya.
Pada 2022, PGB menjangkakan prestasi kekal berdaya tahan walaupun berdepan pandemik yang berterusan memandangkan model perniagaan Kumpulan dan kontrak jangka panjang memastikan aliran hasil yang stabil, terutamanya untuk segmen perniagaan pemprosesan gas, pengangkutan gas dan pengegasan semula.
PGB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 22 sen pada suku keempat dengan dividen interim khas sebanyak 10 sen sesaham biasa, berjumlah 82 sen sesaham untuk tahun tersebut.
Pada TK2020, Kumpulan membayar dividen sebanyak 127 sen, termasuk dividen khas sebanyak 50 sen dan 5 sen masing-masing pada suku kedua dan S4 2020. – UTUSAN










