PETALING JAYA: Penanam kelapa sawit tempatan mendapat manfaat daripada dasar eksport baharu Indonesia menerusi harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, kata Maybank Investment Bank (IB).
Peraturan eksport baharu Indonesia yang berkuat kuasa pada 27 Januari lalu telah melebarkan jurang harga MSM domestik antara kedua-dua negara sebanyak RM246 satu tan kepada RM1,378 satu tan pada 3 Februari, berbanding RM1,132 satu tan pada 27 Januari.
Pada 27 Januari, Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berkata, pengeksport mesti mengetepikan 20 peratus penghantaran mereka untuk obligasi pasaran domestik (DMO) bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi di pasaran domestik pada harga berpatutan.
Maybank IB dalam nota penyelidikannya memaklumkan, sejak pengumuman dasar baharu Indonesia, niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) sebulan di Bursa Malaysia Derivatives meningkat 1.8 peratus minggu ke minggu kepada RM5,714 setan pada 3 Februari namun tidak setinggi RM5,803 setan yang direkodkan pada 28 Januari berikutan kebimbangan terhadap kekurangan minyak sawit dalam pasaran eksport.
“Walaupun harga MSM meningkat di Malaysia, harga MSM domestik di Indonesia turun 2.8 peratus minggu ke minggu kepada 14,930 rupiah sekilogram (kg) pada 3 Februari.
“Ini bermakna penanam Indonesia berkongsi beban subsidi harga minyak masak domestik.
“Kesan keseluruhan adalah jauh lebih kecil daripada anggaran Maybank IBG kerana kami menjangkakan harga MSM Indonesia secara teorinya akan turun kepada 14,000 rupiah sekilogram minggu lepas,” katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, penanam yang lebih berpusat di Malaysia seperti IOI Corp, Sarawak Oil Palm (SOP), Boustead Plantations (BLANT), Ta Ann (TAH), TH Plantation (THP), Hap Seng Plantations (HAPL), dan FGV akan mendapat manfaat daripada perubahan dasar itu.
Oleh itu, firma penyelidikan itu kekal positif terhadap sektor tersebut dan mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Kuala Lumpur Kepong (KLK), SOP dan BPLANT dengan harga sasaran masing-masing RM30.70, RM5.60 dan RM0.93 seunit .
Walau bagaimanapun, ia menyatakan beberapa faktor risiko yang boleh menjejaskan pandangan sektornya, anggaran pendapatan, sasaran harga dan penarafan saham di bawah perlindungan.
“Risikonya ialah pemulihan pengeluaran minyak sawit dan minyak sayuran lain yang lebih lemah daripada jangkaan pada 2022. Harga minyak mentah Brent semakin hampir kepada AS$100 setong dan anomali cuaca di wilayah pengeluar minyak sawit dan biji minyak utama.
“Sementara itu, risiko penurunan harga minyak mentah Brent jatuh mendadak kepada bawah AS$60 setong, dasar negatif yang dikenakan oleh negara pengimport, dasar kerajaan yang tidak mesra di negara pengeluar atau pengeksport, pengeluaran yang lebih kukuh pada 2022, serta permintaan global yang lebih lemah dan harga minyak bersaing yang lebih lemah,” tambahnya. – UTUSAN










