Mudahkan pinjaman usahawan - Noh - Utusan Malaysia

Mudahkan pinjaman usahawan – Noh

NOH Omar merasmikan Hari Usahawan Negara 2022 anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia di WTC Kuala Lumpur. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mahu setiap agensinya memudahkan proses permohonan pinjaman usahawan khususnya yang telah mendapat pengiktirafan dan dibentuk oleh agensi lain di bawah kementerian itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, usahawan yang telah berjaya tidak sepatutnya dilayan seperti usahawan yang baru bermula sehingga terpaksa mengemukakan pelbagai dokumen yang merumitkan proses bagi mendapatkan pembiayaan.

“Perkara itu adalah janggal kerana ia seperti tidak mengiktiraf usahawan yang dibentuk oleh agensi di bawah MEDAC.

“Sebagai contoh, kalau usahawan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan disahkan sebagai berjaya, dia nak pembiayaan lebih RM30,000, AIM tidak dapat bagi lebih daripada itu dan dia kena mohon dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

“TEKUN Nasional pula apabila tengok sokongan AIM, tak perlulah minta dokumen macam-macam, begitu juga apabila usahawan TEKUN nak pinjam sampai RM1 juta atau RM2 juta.

“TEKUN Nasional kena buat pengesahan dan syor kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula dan PUNB kena permudahkan,” katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran aplikasi dan laman sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) di sini, kelmarin.

Turut Hadir, Presiden DPUKM dan Pengerusi HUN 2022, Datuk Seri Abu Hassan Mohd. Nor.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh menzahirkan kekagumannya terhadap usahawan generasi muda yang mampu berkembang dengan modal sendiri tanpa sebarang bantuan pembiayaan agensi kerajaan.

Ujarnya, sekiranya usahawan berkenaan memerlukan suntikan modal melalui pinjaman, proses permohonan oleh mereka juga mesti dipermudahkan.

“Ramai yang bermula dengan modal sendiri, dia naik dari bawah, berniaga dari rumah dan akhirnya boleh buka kilang.

“Kalau usahawan seperti itu sudah buktikan tanpa pinjaman pun mereka mampu untuk maju, apa salahnya agensi di bawah MEDAC beri bantuan pastikan mereka terus maju dan yakinlah bahawa mereka usahawan yang tulis,” katanya.

Sementara itu, HUN 2022 bakal berlangsung selama lima hari dari 24 hingga 28 Mac di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur dan bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

HUN 2022 diadakan khusus buat usahawan kecil dan sederhana (IKS) berkembang lebih jauh menerusi aplikasi HUN 2022 dan laman web www.hariusahawannegara.com.my.

Aplikasi dan laman web itu diwujudkan bagi mempromosikan produk IKS secara dalam talian dan membolehkan jualan secara terus kepada pelanggan selain sebagai platform berkongsi informasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN