SEPANG: Selepas hampir dua tahun mendepani situasi penuh cabaran akibat isu Covid-19, Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA yakin, pada tahun ini mampu kembali bangkit.
Keyakinan itu turut bersandarkan kejayaan dicapai sepanjang bulan lalu apabila merekodkan pertumbuhan kadar penginapannya lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi domestik.
Pengurus Besarnya, Wan Enderi Mohd. Saad malah berkata, trend pemulihan hotel itu sudah mula dapat disaksikan pada November tahun lalu sebelum berlanjutan lagi bulan berikutnya.
“Kami memang bersemangat tinggi setelah lihat trend positif dua bulan terakhir 2021 lalu dan gembira apabila Januari pula tanpa diduga mencatatkan prestasi amat cemerlang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan prebiu bufet iftar Ramadan di restoran hotel itu, malam tadi.
Movenpick KLIA dimiliki sepenuhnya Tabung Haji bertaraf lima bintang, mula dibuka pada 2018 dan diuruskan rangkaian perhotelan global terbesar, Accor berpangkalan di Perancis.
Mengulas lanjut, Wan Enderi berkata, pelbagai perancangan yang sudah disusun sejak dua tahun lalu tetapi tergendala ekoran Perintah Kawalan Pergerakan, bakal disambung tahun ini.
“Kami akan meneruskan projek taman tema air di aras bumbung selain menambah banyak fasiliti baharu untuk menarik ramai pelanggan khususnya berkeluarga atau berkumpulan,” katanya.
Beliau dalam nada optimis menjangkakan prospek tahun ini akan lebih baik susulan kejayaan pelaksanaan program gelembung pelancongan antarabangsa yang bermula November lepas.
Menyentuh kebimbangan penularan varian Omicron, beliau menegaskan prosedur operasi standard hotel ini masih ketat sejajar piawaian antarabangsa bagi mengekang jangkitan Covid-19.
“Kami tetap berwaspada tahap tertinggi dan tidak kompromi termasuk yang pilih dikuarantin di sini tetapi saya beri jaminan, pelanggan disantuni dengan sehabis baik,” kata Wan Enderi lagi.
Ditanya persiapan Ramadan tahun ini, Movenpick KLIA menawarkan pakej khas Taraweehcation seperti tahun lalu yang meliputi bermalam untuk dua orang selain lengkap iftar dan sahur. – UTUSAN










