Momentum pemulihan ekonomi boleh terjejas - Utusan Malaysia

Momentum pemulihan ekonomi boleh terjejas

MALAYSIA dikatakan bakal menerima manfaat terbesar dalam kalangan negara ASEAN apabila menyertai RCEP yang akan dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2022. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, pertumbuhan eksport dan import pada tahun ini dijangka berlaku sedikit penurunan berikutan asas yang tinggi pada tahun lalu, tetapi tidak bermakna permintaan global adalah lemah.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, peningkatan jumlah eksport dan import pada tahun lalu jelas menunjukkan bahawa Malaysia sebagai negara pedagang sentiasa mendapat manfaat secara langsung apabila berlaku peningkatan dalam permintaan global.

“Sektor-sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), sarung tangan getah serta barangan berasaskan komoditi seperti kelapa sawit dan produk minyak dan gas merupakan antara sektor yang menyokong kepada pertumbuhan industri berorientasikan eksport.

“Namun begitu, risiko ekonomi seperti penularan wabak Covid-19, risiko geopolitik, kenaikan kadar faedah di negara-negara maju serta faktor gangguan rantaian perniagaan merupakan perkara yang mungkin boleh menjejaskan momentum pemulihan ekonomi global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, pihak Tabung Kewangan Antarabanga (IMF) baru-baru ini juga telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi global daripada 4.9 peratus kepada 4.4 peratus bagi 2022.

Menurut Mohd. Afzanizam, itu disebabkan oleh kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) serta dasar Covid-19 sifar yang diamalkan di negara berpotensi untuk menyebabkan kelembapan dalam ekonomi global.

Ujarnya, dari segi politik juga boleh memberi kesan kepada sentimen berikutan kebimbangan terhadap kesinambungan dasar-dasar kerajaan terutamanya dasar yang berkaitan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini memberitahu, selaras dengan prestasi kukuh eksport dan import, jumlah dagangan melonjak 26.8 peratus kepada RM216.7 bilion berbanding bulan yang sama 2020, menjadikan jumlah dagangan tertinggi yang pernah direkodkan iaitu RM2.2 trilion pada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN