SEOUL: Pengeluar kereta Jerman, Mercedes-Benz dan unit Koreanya, didenda sebanyak 20.1 bilion won (AS$16.9 juta/RM70.70 juta) kerana pengiklanan palsu yang dikaitkan dengan pelepasan asap kenderaan penumpangnya.
Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea Selatan (KFTC) berkata, Mercedes telah mengganggu peranti pengurangan pencemaran dengan memasang perisian haram pada kenderaannya.
Tindakan itu menjadikan mereka berprestasi pada tahap yang lebih rendah dalam keadaan pemanduan biasa berbanding semasa ujian pensijilan, katanya.
Jelasnya, sebanyak 15 model Mercedes telah dipasang perisian berkenaan.
“Adalah memadai untuk mengenakan sekatan terhadap pengendali kereta import No.1 negara kerana menghalang pilihan pembelian pengguna secara rasional dengan iklan palsu dan mengelirukan mengenai prestasi pengurangan pelepasan (asap kenderaannya) walaupun selepas skandal Dieselgate,” kata KFTC dalam kenyataan, semalam.
Menurut KFTC, pengeluar kereta Jerman itu juga secara palsu mengiklankan bahawa pelepasan asap kenderaan mereka kekal pada tahap minimum dan memenuhi piawaian pelepasan Euro 6 antara Ogos 2013 dan Disember 2016.
Mercedes tidak memberikan komen serta-merta di luar waktu perniagaan apabila dihubungi Reuters.
Tahun lepas, KFTC mengenakan denda atau mengarahkan tindakan pembetulan untuk Audi-Volkswagen Korea, Nissan Motor Corp, Stellantis Korea dan Porsche AG kerana insiden serupa. – AGENSI










