LONDON/SHANGHAI: Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menyebabkan harga minyak mentah global melonjak ke paras tertinggi dengan Bret melepasi AS$103 setong, manakala WTI pula didagangkan melebihi AS$98 setong.
Dalam sesi dagangan semalam, minyak mentah Brent mencecah AS$103.52 (RM402.87) setong, tertinggi sejak September 2014 disebabkan kebimbangan perang kemungkinan berlaku di Eropah dan boleh mengganggu bekalan tenaga global.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turut melonjak 6. peratus kepada $98.05 (RM383.10)setong, tertinggi sejak Ogos 2014, lapor Reuters.
Rusia merupakan pengeluar minyak kedua terbesar dunia, dengan kebanyakan minyak mentah dijual kepada kilang penapisan Eropah. Negara itu juga merupakan pembekal gas asli terbesar ke Eropah, menyediakan kira-kira 35 peratus daripada bekalannya.
Emas yang sering dijadikan lindung nilai pada sebarang krisis global, meningkat kira-kira 1.9 peratus kepada AS$1,943.86 (RM8,170.04) seauns.
Sementara itu, pasaran saham dan mata wang global menerima kesan terburuk selepas para pelabur bimbang kemungkinan krisis lebih besar berlaku.
Di Eropah, niaga hadapan saham benua berkenaan menjunam sebanyak 4 peratus dengan niaga hadapan 50 firma teratas menjunam 4.1 peratus. Di kalangan pasaran serantau pula, niaga hadapan DAX Jerman jatuh 4.4 peratus dan niaga hadapan FTSE United Kingdom (UK) susut 2.4 peratus.
Sementara itu, pasaran saham AS menyaksikan peningkatan mendadak dalam aliran turun naik, dengan Indeks Volatiliti Cboe di Wall Street, meningkat lebih daripada 55 peratus sejak sembilan hari lalu.
Bursa S&P 500 pula susut 2.3 peratus dan niaga hadapan Nasdaq jatuh 2.8 peratus
Dalam urus niaga semalaman, pasaran saham AS mengalami kerugian dengan Purata Perindustrian Dow Jones turun 1.38 peratus. Indeks Dunia MSCI, pengukur utama pasaran ekuiti di seluruh dunia turut merosot ke paras terendah sejak April 2021.
Tidak terkecuali pasaran di Asia, dengan penjualan saham-saham tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Indeks MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun, jatuh 1.0 peratus pada awal dagangan sementara saham Australia menjunam 2.67 peratus. Di Tokyo, indeks Nikkei N225 susut 1 peratus berbanding sesi dagangan sebelumnya, manakala saham mewah China jatuh 0.5 peratus.
Pengarah ekonomi di Bank Negara Australia, Tapas Strickland berkata, pelabur turut bergelut dengan prospek dasar lebih ketat yang akan dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan AS bertujuan menangani kadar inflasi yang semakin melonjak.
“Kejutan bekalan kepada komoditi dan keperluan disebabkan risiko geopolitik. Mungkin inflasi kekal meningkat lebih lama dengan risiko kitaran mendaki mungkin perlu lebih curam,” katanya. – AGENSI









