PETALING JAYA: Pertumbuhan pesat dalam perlombongan kripto yang tidak terkawal boleh menyumbang kepada gangguan pasaran tenaga dan mengalihkan sumber elektrik daripada sektor lain, terutamanya dalam pasaran baharu muncul, kata Fitch Ratings.
Agensi penarafan itu berkata, peningkatan dalam permintaan global untuk mata wang kripto pada 2021 dan perlombongan kripto yang sangat menguntungkan telah mewujudkan ekosistem yang sudah menggunakan anggaran 0.4 –1 peratus tenaga elektrik global.
Bagaimanapun katanya, tahap pengawasan kawal selia pasaran kripto yang lebih tinggi, termasuk kaedah perlombongan dan penggunaan tenaga, berkemungkinan dalam jangka masa panjang, mengehadkan risiko kepada sektor utiliti tenaga.
Katanya, perlombongan mata wang kripto seperti Bitcoin selalunya bergantung kepada pusat data sementara atau “ladang perlombongan” yang tidak dikawal.
“Elektrik mewakili sehingga 90 peratus daripada kos perlombongan kripto, dan sektor ini sensitif terhadap harga elektrik di mana kilangnya sering terletak berhampiran tenaga kos rendah, terutama di mana harga elektrik berkurangan,” katanya dalam kenyataan.
Agensi penarafan itu berkata, perlombongan mata wang kripto telah maju dan kini memerlukan peralatan khusus bernilai beribu-ribu dolar bagi setiap lombong, dengan operasinya mudah untuk ditubuh atau dipindahkan.
Katanya, ia ditunjukkan oleh operasi perlombongan dari China selepas negara itu mengharamkan mata wang kripto pada 2021 ke lokasi lain seperti Rusia, Kazakhstan, Kanada dan Amerika Syarikat. China dilaporkan menyumbang kira-kira dua pertiga daripada perlombongan bitcoin global pada 2020.
Jelas agensi itu lagi, di beberapa lokasi, lombong baharu dilaporkan telah menyebabkan rangkaian tenaga terlebih muatan sehingga mengakibatkan bekalan terputus.
“Bitcoin masih merupakan mata wang kripto global terbesar, tetapi pasaran aset digital telah mengalami pertumbuhan pesat, terutama pada 2021 menjadi lebih pelbagai dengan keperluan tenaga yang lebih besar,” jelasnya.
Tambahnya, permintaan kuasa tahunan Bitcoin sahaja dianggarkan kira-kira 125 terawatt-jam oleh Pusat Kewangan Alternatif Cambridge, setanding dengan penggunaan elektrik negara seperti Norway dan Sweden.
Sedangkan katanya, maklumat tentang keperluan elektrik banyak mata wang kripto lain dan pelan induk karbon industri itu jarang didedahkan. – UTUSAN










